Khamis, 18 April 2024 | 9:34pm
Sivasundaram (tengah) pada Majlis Makan Malam Pengadil FAM 2024 di sebuah hotel, di sini. - Foto FB FAM
Sivasundaram (tengah) pada Majlis Makan Malam Pengadil FAM 2024 di sebuah hotel, di sini. - Foto FB FAM

FAM lancar Akademi Pengadil Profesional

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melancarkan Akademi Pengadil Profesional dalam usaha melahirkan pengadil berprestasi tinggi bagi mengadili perlawanan Liga Super Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM pada Majlis Makan Malam Pengadil FAM 2024 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, malam ini.

Sivasundaram menjelaskan, seramai 30 pengadil termasuk tiga pengadil wanita dipanggil untuk menyertai projek Akademi Pengadil Profesional bagi fasa pertama iaitu bermula 2023 hingga 2025.

"Bagi fasa pertama ini, FAM memilih pengadil muda dan berpotensi yang mana umur mereka antara 20 hingga 32 tahun.

"Pengadil ini akan diuji dari aspek kecergasan, kesihatan, undang-undang permainan serta literasi (kebolehan menulis dan membaca) dalam bahasa Inggeris. Sebanyak sembilan modul perlu diikuti oleh mereka," katanya.

Selain itu, Sivasundaram memaklumkan seramai lima pengadil daripada kumpulan itu juga dipilih untuk dilatih sebagai pengadil video bantuan pengadil (VAR).

Beliau berkata, FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga dalam fasa akhir persiapan untuk pelaksanaan teknologi VAR dalam saingan Liga Super musim 2024/25 yang akan bermula 10 Mei depan.

"Atas inisiatif Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, sejarah bakal tercipta apabila FAM dan MFL mengorak langkah memperkenalkan VAR dalam saingan Liga Malaysia bermula musim 2024/25 ini.

"Pelbagai fasa latihan VAR dibuat untuk membiasakan pengadil dengan kemahiran VAR. Objektif utama VAR adalah untuk meminimumkan kesilapan pengadil dan seterusnya memajukan standard bola sepak negara," katanya.

Seramai 22 pengadil ditauliahkan sebagai pengadil VAR, 20 penolong pengadil ditauliah sebagai AVAR (Assistant Video Assistant Referee), sembilan pengadil ditauliah sebagai Replay Operator (RO) dan lima individu dari Astro ditauliah sebagai Replay Operator (RO).

Berita Harian X