Khamis, 18 April 2024 | 5:30pm
Aksi pemain B-23 negara ketika menentang Uzbekistan. - Foto FB FAM
Aksi pemain B-23 negara ketika menentang Uzbekistan. - Foto FB FAM

Jangan ulangi kesilapan berdepan Vietnam

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara wajib mengalahkan Vietnam sekiranya mahu membuka peluang lebih cerah untuk melepasi saingan peringkat Kumpulan D kempen Piala Asia B-23 2024.

Ia susulan kekalahan 0-2 kepada Uzbekistan dalam aksi sulung di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar, semalam dan Harimau Malaya B-23 akan menentang Vietnam di gelanggang sama, Sabtu ini.

Seandainya tewas aksi kedua, skuad kendalian Juan Garrido berpotensi tersingkir awal dari kejohanan kerana Uzbekistan dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Kuwait.

Meskipun bakal berdepan pasukan dari rantau Asia Tenggara, namun Vietnam jelas bukan lawan mudah dengan mereka mendapat motivasi terbaik selepas menewaskan Kuwait 3-1 dalam aksi pertama, semalam.

Apa yang perlu dilakukan Garrido ketika ini sudah pasti perlu bekerja keras untuk meningkatkan persembahan skuad negara terutama menajamkan lagi bahagian serangan untuk mendapatkan gol penting.

Malah, Harimau Malaya B-23 juga harus mengelak melakukan kesilapan mudah kerana kedua-dua jaringan termasuk penalti pada babak pertama berpunca daripada kesilapan pemain negara sendiri.

Berdasarkan rekod, ia penalti keempat yang 'dihadiahkan' skuad negara kepada lawan dalam tiga aksi terakhir mereka selepas turut bolos tiga gol menerusi penalti ketika tewas 1-2 dan 0-1 kepada China dan Qatar dalam aksi pemanas badan sebelum ini.

Garrido dalam sidang media selepas perlawanan dengan Uzbekistan turut mengakui bahawa skuad negara perlu meningkat dari segi persembahan untuk mengharungi aksi seterusnya.

Beliau berkata, peningkatan itu terutama dari segi mengatur serangan yang lebih berkesan selain mengurangkan kesilapan di bahagian pertahanan yang boleh mengundang jaringan kepada lawan.

"Kami berdepan salah satu pasukan terbaik dalam kejohanan, malangnya kami dibolosi dengan jaringan penalti awal. Kami tidak mengatur serangan seperti yang kami mahukan pada babak pertama.

"Saya fikir kami harus meningkatkan lagi persembahan kami, kami mahu menyerang dan menggandakan usaha untuk raih keputusan positif.

"Hari ini kami berdepan lawan yang bagus, dalam perlawanan akan datang, kami mesti memperbaiki cara untuk menembusi kawasan lawan," katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Harimau Malaya B-23 berada di tangga tercorot Kumpulan D tanpa sebarang mata dan jaringan, manakala Vietnam serta Uzbekistan yang berkongsi tiga mata menghuni kedudukan dua teratas.

Sementara itu, pengendali Uzbekistan, Timur Kapadze menyifatkan pasukannya berdepan kesukaran sebelum meraih kemenangan penting ke atas Malaysia.

"Aksi pertama menjadi perlawanan yang sukar buat kedua-dua pasukan dan kami mungkin melakukan beberapa kesilapan. Pasukan lawan memberi tentangan yang sengit dan mencipta dua atau tiga peluang.

"Namun, paling penting kami memenangi perlawanan ini dan tiada pemain mengalami kecederaan kerana kami perlu segera melakukan persiapan untuk perlawanan akan datang," katanya.

Berita Harian X