Khamis, 18 April 2024 | 4:34pm
FAM mahu mendapatkan pemain naturalisasi untuk skuad wanita negara. - Foto FB FAM
FAM mahu mendapatkan pemain naturalisasi untuk skuad wanita negara. - Foto FB FAM

FAM cari naturalisasi wanita

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan pemain naturalisasi yang berkualiti bagi menguatkan skuad bola sepak wanita kebangsaan pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob menjelaskan pihaknya sedang mencari pemain berbakat dan ia dilihat lebih terarah kepada pemain berdarah campuran atau warisan yang turut termasuk dalam kategori naturalisasi.

Beliau berkata, proses untuk mencari pemain naturalisasi wanita tidak semudah yang disangka dan lebih rumit berbanding pemain lelaki.

"Kita sedang mencari tetapi belum jumpa (pemain naturalisasi terbaik). Malah, kita tiada pencari bakat yang pakar untuk (pemain) wanita dan ia bukan (mudah) seperti mencari pemain lelaki.

"Jadi, andai sesiapa yang ada pencari bakat untuk cari pemain wanita yang kita boleh naturalisasi, boleh ke depan dan usulkan kepada Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman)," katanya.

Untuk rekod, beberapa pemain lelaki yang sudah mendapat status naturalisasi dan pernah mewakili negara termasuk Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula, Liridon Krasniqi, Romel Morales dan Sergio Aguero.

Susulan itu, ada cadangan agar skuad wanita kendalian Soleen Al-Zoubi mendapatkan pemain naturalisasi untuk menaikkan martabat Malayan Tigress.

Selain itu, Suraya mengesahkan saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 akan berlangsung pada Jun hingga November depan membabitkan 10 pasukan.

Berita Harian X