Khamis, 18 April 2024 | 2:40pm
Shahrul (kiri) bersama Mohd Daud pada sidang media KDA FC, baru-baru ini. -Foto NSTP/ IZZALI ISMAIL
Shahrul (kiri) bersama Mohd Daud pada sidang media KDA FC, baru-baru ini. -Foto NSTP/ IZZALI ISMAIL

KDA FC umum penyelesaian tunggakan gaji 2023

ALOR SETAR: Isu berkaitan baki tunggakan gaji musim 2023 membabitkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini selesai sepenuhnya apabila pemilik dan pihak pengurusan Sang Kenari hari ini mengumumkan pembayaran penuh.

Baki tunggakan gaji berkenaan diselesaikan semalam iaitu sebelum tarikh akhir diputuskan oleh Pelesenan Kelab MFL, First Instance Body (FIB) sebelum ini iaitu 20 April, sekali gus bakal menyaksikan KDA FC sah beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Shahrul Shamsudin, tunggakan gaji itu merangkumi semua pemain dan pegawai pasukan Liga Super, KDA FC B (Piala MFL Bawah 23 Tahun), KDA FC C (Piala Presiden Bawah 20 Tahun), KDA FC D (Piala Belia Bawah 18 Tahun) serta staf pentadbiran kelab.

Pengumuman dibuat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di laman facebook kelab. - Foto FB KDA FC
Pengumuman dibuat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di laman facebook kelab. - Foto FB KDA FC

"Alhamdulillah, pihak pengurusan kelab berjaya mengatasi masalah tunggakan yang membelenggu kelab sejak hujung tahun lepas. Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tidak putus-putus mencipta ruang dan peluang serta mencari penyelesaian terbaik untuk keluar dari belenggu masalah yang dihadapi kelab.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri Dr Mohd Daud serta Ahli Lembaga Pengarah yang turut bersama-sama membantu dan tidak lupa juga kepada semua penyokong setia dan peminat Sang Kenari yang mengambil peluang disediakan untuk menyumbang sedikit sebanyak kepada usaha yang dilancarkan sebelum ini.

"Kejayaan membayar semua tunggakan gaji musim lalu menyaksikan kelab ini telah memenuhi syarat dan seterusnya mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini," katanya dalam kenyataan rasmi.

Shahrul juga memaklumkan pihaknya positif dengan perkembangan dilalui KDA FC ketika ini dengan menumpukan kepada pelaksanaan hala tuju dirancang bagi musim 2024-2025 untuk lebih tersusun, efektif, jitu dan menurut kerangka lebih efisyen.

Menurut Shahrul, KDA FC juga percaya sebagai sebuah kelab yang diswastakan sepenuhnya selepas proses pemisahan Persatuan Bola Sepak (Football Association) ke Kelab Bola Sepak (Football Club) pada penghujung tahun 2020 hingga kini, kestabilan dan kelestarian kewangan adalah perkara yang amat penting.

Jelasnya, perkara itu diakui mencabar dalam meneruskan kelangsungan operasi kelab di kancah pertandingan bola sepak tempatan mahupun antarabangsa dan KDA FC memerlukan dana kewangan yang kukuh serta stabil.

"KDA FC amat berharap kepada sokongan dan sumbangan berterusan dari semua pemegang taruh industri bola sepak iaitu pihak penaja dan penyokong.

"Kami menyeru semua pihak di luar sana seperti pihak korporat dan usahawan tempatan untuk bersama-sama memberikan sokongan, dorongan, galakan dan sumbangan untuk membantu membangunkan bola sepak di peringkat negeri mahukan antarabangsa.

"Kami yakin ada pihak penaja yang akan terus bersama kami bagi meneruskan kelangsungan legasi bola sepak Kedah yang sudah menjangkau usia 100 tahun pada 2024 ini," katanya.

Berita Harian X