Khamis, 18 April 2024 | 1:34pm
Pemain Terengganu FC, Safawi Rashid (kiri) mengasak pemain Penang FC, Muhammad Adib Abdul Raop pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. - NSTP/GHAZALI KORI
Pemain Terengganu FC, Safawi Rashid (kiri) mengasak pemain Penang FC, Muhammad Adib Abdul Raop pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. - NSTP/GHAZALI KORI

Penang FC intai arkitek import perkasa pasukan

KUALA LUMPUR: Penang FC mengintai seorang lagi pemain import bagi memperkasakan lagi pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua jurulatihnya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, kelab bimbingannya memerlukan 'arkitek' import yang mampu membantu jentera serangan pasukan itu.

Bekas penyerang kebangsaan itu berkata, beliau sudah memiliki nama calon yang sesuai dari Amerika Latin, namun perancangan itu perlu mendapat persetujuan pihak pengurusan.

Setakat ni skuad itu sudah mengikat empat tonggak import iaitu Moon Gun Young, Rodrigo Dias, Moon Gun Young, Rafael Vitor dan Richmond Ankrah yang dipinjamkan daripada Selangor FC.

"Esok (hari ini) pihak pengurusan akan mengadakan mesyuarat, berkemungkinan akan ada kata putus sama ada saya boleh membawa seorang lagi 'key player' di bahagian tengah menyerang itu.

"Besar harapan saya perkara itu dapat direalisasikan bagi memastikan jentera tengah dan serangan pasukan lebih mantap," katanya ketika ditemui selepas Kejohanan Empat Penjuru Pramusim menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, TFC menang tipis 1-0 menumpaskan Harimau Kumbang hasil jaringan penyerang baharu kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade pada babak kedua.

Ketika ditanya kesebelasan utama pasukannya pada musim ini, jurulatih muda itu sudah ada bayangan, namun masih belum memutuskan lagi bagi memberi peluang kepada semua pemain untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

Berita Harian X