Khamis, 18 April 2024 | 10:31am
Pemain Real Madrid menerpa ke arah Antonio Rudiger yang menyumbat penalti kemenangan ketika menentang Manchester City pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, Manchester awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Real Madrid menerpa ke arah Antonio Rudiger yang menyumbat penalti kemenangan ketika menentang Manchester City pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, Manchester awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Ancelotti puas Real Madrid balas dendam

MANCHESTER, England: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti penuh bangga selepas pasukannya bertahan dengan mantap dalma tempoh lama awal pagi tadi untuk mengekang Manchester City dan menyingkirkan mereka menerusi penentuan penalti sekali gus layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

"Saya sukakannya apabila pasukan memberikan dan berkorban segala-galanya dalam perlawanan besar sebegini," katanya selepas dua aksi suku akhir berkesudahan 4-4 secara agregat sebelum kelab Sepanyol itu menang 4-3 pada penentuan sepakan penalti.

Ia membantu Real Madrid membalas dendam selepas mereka dibelasah 4-0 di Stadium Etihad ketika tersungkur pada separuh akhir Liga Juara-Juara tahun lalu.

"Saya yakin tiada cara lain untuk menewaskan Manchester City di sini. Saya bangga dengan apa yang kami lakukan," jelas Ancelotti, yang menggelabah di tepi padang ketika penalti penentuan hinggalah pemain pertahanan Antonio Rudiger menyumbat gol kemenangan.

"Apabila penentuan penalti diadakan, kami benar-benar yakin kami akan mara. Anda bekerja, berkorban dan menang tidak kira cara mana sekalipun.

Pemain Real Madrid, Rodrygo (kanan) menyumbat masuk gol pertama pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Manchester City di Stadium Etihad, Manchester awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Real Madrid, Rodrygo (kanan) menyumbat masuk gol pertama pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Manchester City di Stadium Etihad, Manchester awal pagi tadi. – Foto REUTERS

"Kami bertahan dengan amat bagus malam ini. Ia mengenai meneruskan perjuangan. Madrid satu kelab berdasarkan sering berjuang untuk kekal dalam situasi yang mana kelihatan tiada cara jalan keluar – tetapi kami sering menemui jalannya."

Ancelotti berkata rakan sejawatnya, pengurus Manchester City, Pep Guardiola seorang yang budiman sekalipun kecewa melihat pasukannya mendominasi pegangan bola tetapi gagal menang aksi kedua apabila seri 1-1 awal pagi tadi.

"Pep Guardiola seorang yang baik hati, sering kali beliau begitu. Beliau mengucapkan tahniah kepada kami, mendoakan kejayaan kami dan beliau seorang budiman sejati," katanya.

Selepas mendahului awal, anak buah Ancelotti bertahan sepanjang perlawanan itu, melepaskan gol lewat tetapi kemudian berjaya menanganinya hinggalah penentuan penalti.

"Kami bermula baik dan menjaringkan gol pada awal permainan tetapi perlawanan itu berubah, mereka menekan kami dan rancangan awal kami tidaklah bertahan sebegitu tetapi ia satu perlawanan besar dan anda perlu berjuang.

"Kami sudah lihat Real Madrid melakukannya banyak kali sebelum ini, kelab yang membawakan sesuatu yang tiada siapa jangkakan." – REUTERS

Berita Harian X