Khamis, 18 April 2024 | 5:56am
Pemain tengah Bayern Munich, Joshua Kimmich (dua dari kiri) menanduk masuk gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas Arsenal melepasi jangkauan penjaga gol David Raya pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Allianz Arena, Munich awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Tandukan Kimmich hancurkan impian Arsenal

MUNICH: Tandukan padu Joshua Kimmich pada minit ke-63 menghadiahkan Bayern Munich kemenangan 1-0 ke atas Arsenal sekali gus tempoat ke separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Kemenangan secara agregat 3-2 pada suku akhir itu bermakna Bayern kembali ke separuh akhir buat kali pertama sejak memenangi kejuaraan pada 2020.

Keputusan itu meneruskan minggu yang teruk buat Arsenal, yang melepaskan tangga teratas Liga Perdana Inggeris Ahad lalu selepas mengalami kekalahan pertama dalam liga pada 2024.

Tidak seperti pertembungan yang menyaksikan empat gol dijaringkan di London, perlawanan awal pagi tadi agak hambar dengan hanya beberapa peluang dicipta kedua-dua pasukan pada babak pertama.

Pada pertengahan babak kedua dan dengan masa tambahan makin menjengah, Kimmich meluru ke dalam kotak penalti Arsenal untuk menanduk masuk lambungan sempurna daripada Raphael Guerreiro.

Pemain Bayern Munich meraikan kemenangan 1-0 ke atas Arsenal pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Allianz Arena, Munich awal pagi tadi. Bayern layak 3-2 secara agregat. – Foto AFP
Pemain Bayern Munich meraikan kemenangan 1-0 ke atas Arsenal pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Allianz Arena, Munich awal pagi tadi. Bayern layak 3-2 secara agregat. – Foto AFP

Guerreiro, yang dinaikkan ke bahagian serangan daripada pertahanan kiri disebabkan krisis kecederaan Bayern, memukau dengan penampilan kreatif apabila diberi kebebasan daripada tugas biasanya bertahan.

Pemenang Liga Juara-Juara enam kali Bayern menyertai satu lagi kelab Bundesliga, Borussia Dortmund, yang berdepan Paris Saint-Germain pada separuh akhir.

Dilanda kecederaan beberapa tonggak serangan termasuk bekas pemain sayap Arsenal, Serge Gnabry – yang menjaringkan gol di samping Harry Kane pada aksi pertama – dan Kingsley Coman, jurulatih Thomas Tuchel mengubah Guerreiro beraksi sebagai penyerang.

Tindakan itu dilihat berbaloi dengan pemain Portugal itu menemui banyak ruang di sayap kiri dan bergandingan baik dengan Jamal Musiala di tengah.

Jurulatih Arsenal, Mikel Arteta memilih untuk menurunkan Takehiro Tomiyasu di tempat Jakub Kiwior di pertahanan kiri untuk menangani Leroy Sane tetapi pemain Jepun itu, yang membuat permulaan pertamanya sejak Disember, ternyata kekurangan rentak. – AFP

Berita Harian X