Rabu, 17 April 2024 | 11:07pm
Aksi pemain B-23 negara ketika menentang Uzbekistan di Qatar. - Foto FB FAM
Aksi pemain B-23 negara ketika menentang Uzbekistan di Qatar. - Foto FB FAM

Harimau Malaya B-23 langkah kiri di Qatar

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara memulakan kempen Piala Asia B-23 2024 dengan langkah kiri apabila tewas 0-2 kepada Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar, sebentar tadi.

Dalam aksi sulung Kumpulan D itu, skuad negara ketinggalan pada minit ke-11 menerusi jaringan penalti Jasurbek Jaloliddinov selepas Syahir Bashah mengasari Ruslanbek Jiyanov.

Skuad Harimau Malaya B-23 tampak bergelut untuk mengatur gerakan serangan yang lebih berkesan ke kubu lawan apabila dilihat banyak membuat hantaran di kawasan sendiri pada babak pertama.

Anak buah Juan Torres Garrido kemudian tampil dengan aksi lebih baik pada babak kedua dan berjaya melakukan beberapa gerakan serta percubaan ke pintu gol Uzbekistan, namun gagal memecahkan kebuntuan jaringan.

Ketika Harimau Malaya B-23 berusaha keras memburu gol penyamaan, kesilapan pemain negara melakukan hantaran kurang cermat di kawasan sendiri dihukum dengan jaringan kedua Uzbekistan menerusi ledakan Ulugbek Khoshimov pada minit ke-83.

Jaringan itu melengkapkan kemenangan penting buat Uzbekistan yang juga juara 2018 untuk mendahului kumpulan dengan tiga mata sementara menunggu aksi Vietnam dan Kuwait yang akan berlangsung jam 11.30 malam ini.

Skuad negara akan meneruskan saingan Kumpulan D berdepan Vietnam di gelanggang sama, Sabtu ini sebelum mengharungi aksi terakhir menentang Kuwait di Stadium Al Janoub pada Selasa.

Berita Harian X