Rabu, 17 April 2024 | 11:07am
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta (tengah) bersama Martin Odegaard, Kai Havertz dan Oleksandr Zinchenko ketika sesi latihan di Pusat Latihan Arsenal, London Colney semalam. – Foto REUTERS
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta (tengah) bersama Martin Odegaard, Kai Havertz dan Oleksandr Zinchenko ketika sesi latihan di Pusat Latihan Arsenal, London Colney semalam. – Foto REUTERS

Arteta gesa Arsenal guna peluang

MUNICH: Mikel Arteta menggesa Arsenal melupakan seketika cabaran merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebaliknya mengambil peluang untuk layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun awal pagi esok.

The Gunners berkunjung untuk berdepan Bayern Munich dengan perlawanan suku akhir itu terikat 2-2 selepas aksi pertama di London minggu lalu.

Sejak itu, Arsenal mengalami kekalahan dalam EPL buat kali pertama tahun ini apabila Aston Villa menang 2-0 di Emirates sekali gus menyaksikan anak buah Arteta ketinggalan dua mata di belakang Manchester City dengan berbaki enam perlawanan.

Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu berkata, pemain tidak boleh berterusan kecewa dan mensia-siakan kerja keras untuk layak ke peringkat ini dalam kempen Liga Juara-Juara pertama mereka dalam tempoh tujuh tahun.

"Satu persembahan yang meletakkan kami ke separuh akhir Liga Juara-Juara," kata Arteta apabila ditanya apa reaksi yang beliau mahukan daripada pasukannya.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta melayan soalan wartawan ketika sidang akhbar praperlawanan Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Allianz Arena, Munich lewat malam tadi. – Foto REUTERS
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta melayan soalan wartawan ketika sidang akhbar praperlawanan Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Allianz Arena, Munich lewat malam tadi. – Foto REUTERS

"Persediaan dilakukan bagi mencapai impian itu. Kami sudah meraihnya selama 10 bulan dan segala-galanya yang kami lakukan musim lalu. Esok kami mempunyai peluang luar biasa untuk menjadikannya kenyataan.

"Jika kami berjaya melakukannya esok ia pasti sesuatu yang terlalu menggembirakan. Sebagai kelab ia sesuatu yang kami gagal peroleh dalam tempoh 15 tahun terakhir dan inilah peluangnya.

"Kebanyakan pemain kami tidak berpengalaman dengan semua ini, mereka terlalu bermotivasi dan yakin."

Arsenal bertindak cemerlang sejak awal tahun ini, meraih 31 daripada 33 mata maksimum dalam EPL dengan menjaringkan 35 gol dalam 11 perlawanan.

Namun mereka bergelut sejak seminggu lalu ketika Bayern, yang disingkirkan sebagai juara Jerman buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun, mendedahkan kepincangan di bahagian serangan mereka sebelum kemenangan mengejut Villa. – AFP

Berita Harian X