Rabu, 17 April 2024 | 10:31am
Penyerang Borussia Dortmund, Niclas Fuellkrug (kanan) mengatasi pertahanan Atletico Madrid, Jose Gimenez sebelum menanduk masuk gol pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Dortmund awal pagi tadi. – Foto AFP
Penyerang Borussia Dortmund, Niclas Fuellkrug (kanan) mengatasi pertahanan Atletico Madrid, Jose Gimenez sebelum menanduk masuk gol pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Dortmund awal pagi tadi. – Foto AFP

Hanya Wembley sasaran kami - Fuellkrug

DORTMUND, Jerman: Penyerang Niclas Fuellkrug berharap Borussia Dortmund mampu kembali ke Wembley, 11 tahun selepas kelab itu kali terakhir layak ke final Liga Juara-Juara di stadium sama.

Dortmund menundukkan Atletico Madrid 4-2 pada suku akhir kedua, bangkit daripada ketinggalan dua kali sebelum mara 5-4 secara agregat ke separuh akhir, yang mana mereka akan berdepan Paris Saint-Germain (PSG).

Tandukan cemerlang Fuellkrug pada babak kedua menyamakan kedudukan buat Dortmund secara agregat, hanya tiga minit sebelum Marcel Sabitzer meledak gol keempat dan kemenangan tuan rumah.

Menganggap malam itu sebagai "ajaib", Fuellkrug gembira dengan kejayaan ke separuh akhir namun menyatakan cabaran Dortmund belum berakhir.

"Kami ada satu matlamat: Wembley."

Fuellkrug beraksi dalam divisyen dua bersama Werder Bremen dua musim lalu sebelum berpindah ke Dortmund Ogos lalu.

Penyerang Dortmund, Niclas Fuellkrug meraikan gol ketiga pasukannya ketika menentang Atletico Madrid pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Dortmund awal pagi tadi. – Foto AFP
Penyerang Dortmund, Niclas Fuellkrug meraikan gol ketiga pasukannya ketika menentang Atletico Madrid pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Dortmund awal pagi tadi. – Foto AFP

"Kami beraksi pada separuh akhir Liga Juara-Juara. Bagi seseorang seperti saya, saya fikir ia terlalu istimewa, tetapi ada beberapa pemain di sini yang berpengalaman sebelum ini."

Di bawah bimbingan jurulatih Jurgen Klopp, Dortmund layak ke final pada 2013, namun mereka tumpas di tangan musuh tradisi Bayern Munich 2-1.

Pemain pertahanan Mats Hummels dan Marco Reus dua pemain Dortmund yang masih kekal daripada perlawanan itu, manakala pertahanan Niklas Suele menang Liga Juara-Juara bersama Bayern pada 2020.

"Suasana, tenaga di tengah padang, terlalu melampau. Kami sedar dari minit pertama tiada siapa akan memberi ruang walau seinci," kata Fuellkrug.

"Kami beraksi dengan amat agresif. Ia sesuatu yang kami perlu teruskan dalam beberapa minggu akan datang."

Dortmund bertemu PSG di peringkat kumpulan, kalah 2-0 di Paris sebelum seri 1-1 di laman sendiri untuk menjuarai kumpulan mereka. – AFP

Berita Harian X