Rabu, 17 April 2024 | 9:58am
Pemain PSG, Ousmane Dembele (tengah) menewaskan penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain PSG, Ousmane Dembele (tengah) menewaskan penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Kami sentiasa yakin boleh - Dembele

BARCELONA, Sepanyol: Ousmane Dembele berkata mereka tidak meragui kemampuan Paris Saint-Germain (PSG) untuk mengatasi defisit aksi pertama menentang Barcelona ketika juara Perancis itu menang 4-1 di Sepanyol awal pagi tadi untuk layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Ketinggalan 3-2 selepas pertemuan di Paris minggu lalu, PSG kendalian Luis Enrique tercicir lagi dalam pertembungan itu apabila Raphinha menyempurnakan hantaran silang Lamine Yamal pada minit ke-12.

Namun kad merah buat pertahanan Barcelona, Ronald Araujo menjadi titik tolak kebangkitan dengan Dembele menghidupkan semula peluang PSG pada suku akhir itu apabila dia merembat masuk sejurus sebelum rehat.

Vitinha membantu pelawat menyamakan kedudukan secara agregat sebelum Kylian Mbappe meledak dua gol, menyempurnakan sepakan penalti dan satu gol lagi seminit sebelum tamat untuk melengkapkan kemenangan 6-4 secara agregat.

"Setiap orang percaya kami boleh melakukannya, sekalipun kami tumpas 3-2 aksi pertama. Kami tidak berputus asa. Kami tahu kami akan menjaringkan gol di sini. Seluruh pasukan melakukan satu tugas hebat," kata Dembele kepada Canal Plus.

Penyerang PSG, Ousmane Dembele (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang Barcelona pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto AFP
Penyerang PSG, Ousmane Dembele (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang Barcelona pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto AFP

"Kami banyak melakukan taktikal sepanjang minggu dan taktik jurulatih ternyata sempurna. Anda saksikan dalam perlawanan ini, walaupun kami melepaskan gol pertama, kami tidak berputus asa. Kami tetap percaya kerana kami mesti menang perlawanan ini."

Ia kali pertama dalam sejarah kelab PSG menang perlawanan Liga Juara-Juara selepas tumpas aksi pertama di gelanggang sendiri.

Kemenangan itu membolehkan mereka bertemu satu lagi bekas kelab Dembele, Borussia Dortmund, yang mengatasi Atletico Madrid 5-4 secara agregat selepas menang 4-2 di laman sendiri awal pagi tadi.

"Ia satu usaha yang hebat. Setiap orang luar biasa sepanjang perlawanan. Saya dapat tahu Borussia Dortmund mara dan ia satu lagi kelab yang pernah saya wakili," kata Dembele, yang tidak mengendahkan kecaman teruk diterimanya di Barcelona daripada penyokong tuan rumah.

"Saya mengharungi satu petang yang hebat. Diejek penyokong Barcelona tidak menjejaskan saya. Saya sudah memberikan segala-galanya. Saya menyumbat gol dan menangkan satu penalti, jadi amat gembira dengan persembahan saya." – AFP

Berita Harian X