Rabu, 17 April 2024 | 8:53am
Pengadil dari Romania, Istvan Kovacs melayangkan kad merah kepada pertahanan Barcelona, Ronald Araujo (empat dari kanan) ketika suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang PSG di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto AFP

Pengadil teruk punca Barca tumpas - Xavi

BARCELONA, Sepanyol: Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez mendakwa keputusan pengadil membuang padang Ronald Araujo ketika disingkirkan oleh Paris Saint-Germain (PSG) pada pusingan kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi tadi "tidak perlu" dan meleburkan impian kelab itu.

Araujo dilayangkan kad merah pada minit ke-29 kerana menjatuhkan Bradley Barcola di penjuru kotak penalti dengan Barcelona mendahului 1-0 pada malam itu dan 4-2 secara agregat.

Ketika Barcelona beraksi 10 pemain, PSG bangkit dan menang 4-1 di Montjuic, mara 6-4 secara agregat.

"Amat memalukan kerja keras sepanjang musim berakhir di sini disebabkan keputusan teruk pengadil," kata Xavi kepada Movistar. "Pembuangan padang ini tidak perlu."

Xavi sendiri kemudian dibuang padang kerana membantah keras ketika Barcelona hilang pertimbangan pada babak kedua dan beliau mengkritik pengadil dari Romania, Istvan Kovacs.

Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez (kanan) dan pemainnya Raphinha kelihatan muram selepas disingkirkan PSG pada suku akhir Liga Juara-Juara di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto REUTERS

"Pengadil terlampau teruk, saya beritahunya, beliau tidak faham mengenai permainan ini," kata jurulatih itu.

Kad merah Araujo menyebabkan Xavi mengeluarkan pemain sayap berusia 16 tahun, Lamine Yamal, yang mencipta gol pembukaan Barcelona untuk Raphinha, dengan Inigo Martinez dimasukkan bagi memenuhi kelompongan di benteng pertahanan.

"Kami amat marah, kad merah itu memutuskan perlawanan ini," kata Xavi.

"Kami beraksi dengan tersusun, bagi saya ia keterlaluan untuk melayangkan kad merah, dari situ ia satu perlawanan berbeza.

"Kami ragu-ragu untuk mengeluarkan Lamine pada awalnya, dia bertindak baik – detik itu jelas menentukan keputusan perlawanan ini."

Barcelona ketinggalan lapan mata di belakang Real Madrid dalam perebutan kejuaraan La Liga dan berdepan Los Blancos Ahad ini di Santiago Bernabeu. – AFP

Berita Harian X