Rabu, 17 April 2024 | 7:14am
Penyerang PSG, Kylian Mbappe meraikan gol keempat menentang Barcelona pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto AFP
Penyerang PSG, Kylian Mbappe meraikan gol keempat menentang Barcelona pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto AFP

PSG, Mbappe hukum Barca

BARCELONA, Sepanyol: Kylian Mbappe meledak dua gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) bangkit untuk menundukkan Barcelona yang beraksi 10 pemain 4-1 sekali gus mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara 6-4 secara agregat awal pagi tadi.

Raphinha meletakkan Barcelona di depan pada awal aksi namun kad merah Ronald Araujo pada minit ke-29 memberi kelebihan kepada PSG, sekalipun juara Sepanyol itu mendahului dengan dua gol susulan kemenangan 3-2 pada suku akhir pertama.

Ousmane Dembele dan Vitinha menyamakan kedudukan buat PSG secara agregat dan Mbappe kemudian menyumbat dua gol termasuk satu penalti untuk mengemudi kemaraan mereka ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2021.

Juara Perancis itu tidak pernah memenangi Liga Juara-Juara di sebalik pelaburan besar namun membuktikan mereka memiliki senjata serangan dalam skuad mereka untuk mampu mengakhiri kemarau itu.

Jurulatih PSG, Luis Enrique, yang mengemudi kejayaan Barca memenangi Liga Juara-Juara 2015 berkata, beliau percaya pasukannya mampu mengubah nasib mereka sekalipun tidak pernah melakukannya selepas kalah pada aksi pertama di laman sendiri.

Pemain PSG, Vitinha (kanan) menjaringkan gol kedua melepasi jangkauan penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain PSG, Vitinha (kanan) menjaringkan gol kedua melepasi jangkauan penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto REUTERS

"Ia kelihatan teruk tetapi pasukan kami memberikan tumpuan penuh – apa pun yang berlaku, kami perlu menewaskan Barcelona," kata Dembele, yang dicemuh oleh penyokong bekas kelabnya sendiri.

Juara lima kali Barcelona mengimpikan untuk layak ke separuh akhir kali pertama sejak 2019 tetapi kad merah Araujo kerana menjatuhkan Bradley Barcola menyukarkan laluan mereka.

Ia satu lagi siri mimpi ngeri di Eropah buat kelab Catalunya itu, yang kali terakhir muncul juara pada 2015.

"Di Eropah beraksi dengan 10 pemain anda sedar anda akan menderita," kata pemain tengah Barcelona, Frenkie de Jong kepada Movistar.

"Kami cuba dan kami berjuang untuk berada di separuh akhir, ia satu tamparan hebat kerana kami amat yakin boleh meloloskan diri." – AFP

Berita Harian X