Selasa, 16 April 2024 | 6:01pm
Pemain Pahang meraikan jaringan Cvetkovic ketika menentang Albirex. - Foto Sri Pahang
Pemain Pahang meraikan jaringan Cvetkovic ketika menentang Albirex. - Foto Sri Pahang

Sri Pahang hanya beraksi 35 minit di Singapura

KUANTAN: Sri Pahang FC hanya sempat beraksi selama 35 minit berdepan kelab Singapura, Albirex Niigata pada aksi persahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura hari ini.

Perlawanan itu terpaksa dihentikan ketika Sri Pahang sedang mendahului 1-0 menerusi jaringan pemain import baharu, Aleksandar Cvetkovic berikutan cuaca buruk.

Menerusi hantaran Facebook rasmi Sri Pahang FC, aksi antara kedua-dua pasukan tidak dapat diteruskan kerana hujan lebat dan kilat.

"Perlawanan dihentikan selepas 35 minit ketika Sri Pahang sedang mendahului 1-0 melalui jaringan Cvetkovic," menurut hantaran itu.

Namun, skuad kendalian Fandi Ahmad itu masih lagi boleh menilai prestasi anak buahnya apabila berdepan satu lagi kelab Singapura, Geylang International FC, Khamis ini.

Dua aksi persahabatan itu lebih kepada persediaan awal menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 yang akan membuka tirainya bulan depan.

Berita Harian X