Selasa, 16 April 2024 | 5:25pm
Garrido cabar anak buah bahawa mereka sememangnya layak beraksi di Qatar.
Garrido cabar anak buah bahawa mereka sememangnya layak beraksi di Qatar.

Kami sudah sedia cabar Uzbekistan - Garrido

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara perlu menerima hakikat bahawa mereka tampil sebagai pasukan bukan pilihan pada aksi Piala Asia B-23 2024 yang berlangsung di Qatar, ketika ini.

Pengendali skuad Harimau Muda, Juan Torres Garrido berkata status itu bukanlah satu masalah buat skuad negara, malah ia seharusnya menjadi motivasi terbaik dalam memberikan cabaran kepada pencabar lain dalam Kumpulan D.

"Kita harus menerima realiti sebagai pasukan bukan pilihan terutama selepas melihat cara kita layak untuk bersaing di Piala Asia B-23. Tetapi pemain perlu menunjukkan bahawa kami juga layak untuk beraksi di pentas tertinggi ini.

"Kami gembira untuk beraksi di Piala Asia B-23 dan kami memandang ke depan. Kami bercita-cita untuk memperbaiki keputusan pada edisi lalu dan semua pemain begitu teruja untuk menantikan perlawanan pertama," kata Garrido.

Edisi kali ini menyaksikan skuad B-23 negara akan membuka kempen di Qatar berdepan naib juara edisi lalu, Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Khalifa, malam esok.

Sebagai rekod, skuad Harimau Muda 'bungkus' seawal peringkat kumpulan pada edisi lalu di Uzbekistan selepas pulang dengan tangan kosong apabila tewas ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan.

Mengulas lanjut aksi pertama berdepan negara dari Asia Tengah itu, Garrido menegaskan anak buahnya perlu berada pada tahap yang terbaik untuk memberi cabaran yang sengit kepada pasukan lawan.

"Kita akan menentang Uzbekistan yang menjadi salah satu pasukan pilihan dan mereka memiliki ramai pemain bagus walaupun tidak semua pemain dari skuad edisi lalu menyertai skuad kali ini.

"Jadi mereka ada banyak alternatif dan untuk itu, kita harus berada pada tahap yang terbaik untuk menjadi kompetitif. Kita sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan ini," katanya.

Berita Harian X