Selasa, 16 April 2024 | 4:44pm
Penyerang TFC, Ivan Mamut terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan. Foto Ghazali Kori
Penyerang TFC, Ivan Mamut terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan. Foto Ghazali Kori

TFC hilang khidmat Mamut

KUALA TERENGGANU: Impian peminat setia Terengganu FC (TFC) untuk menyaksikan gandingan penyerang, Ivan Mamut dan Ismaheel Akinade beraksi dalam saingan Empat Penjuru yang bermula esok tidak kesampaian.

Malah gandingan yang baharu dibentuk itu juga bakal terlepas aksi awal dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bermula 10 Mei ini.

Ini kerana Mamut yang muncul penjaring terbanyak skuad Penyu pada musim lalu masih lagi bergelut dengan kecederaan tendon achilles pada kaki kirinya ketika menjalani latihan pramusim sebelum ini yang menyaksikan dia perlu berehat panjang.

Berita dukacita itu dimaklumkan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang akui ketiadaan pemain tinggi lampai itu sedikit sebanyak menjejaskan persiapannya pada aksi empat penjuru itu dan pertemuan pertama Liga Super dengan Perak FC pada 11 Mei di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

"Kecederaan Mamut agak serius, sebelum ini kami tidak menjangkakan ia begitu serius, kini dia sedang dalam rawatan pemulihan dan fisioterapi akibat kecederaan pada kaki kirinya ketika menjalani latihan. Mengikut laporan perubatan didapati ada koyakan pada tendon achillesnya dan dijangka perlu berehat lebih sebulan.

"Ketiadaannya sedikit sebanyak menjejaskan persiapan kami sebelum Liga M bermula, malah jika dia (Mamut) tidak sempat sembuh, kemungkinan aksi awal liga dia juga tidak dapat beraksi.

"Bagaimanapun saya tidak begitu risau kerana masih ada seorang lagi penyerang iaitu Akinade yang mampu beraksi dengan baik di posisi itu sebagaimana ketika menjaringkan tiga gol pada aksi persahabatan di Lembah Klang sebelum ini.

"Lagipun beberapa pemain tempatan termasuk Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob mampu memikul tugas di posisi berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini Azam Azmi Murad dan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim turut tersenarai antara pemain yang mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi dalam saingan empat penjuru.

Namun, mereka sudah mula menjalani latihan ringan bersama pasukan.

Berita Harian X