Selasa, 16 April 2024 | 12:57pm
Penyerang Manchester City, Erling Haaland (kiri) terus dikritik walapun pasukannya masih di landasan terbaik mengulangi kejayaan treble. - Foto AFP
Penyerang Manchester City, Erling Haaland (kiri) terus dikritik walapun pasukannya masih di landasan terbaik mengulangi kejayaan treble. - Foto AFP

Peluang Haaland tutup mulut pengkritik

MANCHESTER: Manchester City semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan treble, tetapi penyerangnya Erling Haaland berterusan dikritik.

Man City akan melayan kunjungan Real Madrid pada aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Etihad esok (awal pagi Khamis) selepas terikat 3-3 pada aksi pertama di Santiago Bernabeu.

Madrid, juara 14 kali Eropah, dibelasah 4-0 oleh City di Manchester 11 bulan lalu pada aksi separuh akhir, sebelum kelab Inggeris itu memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan treble bersama Liga Perdana Inggeris serta Piala FA.

Skuad kendalian Pep Guardiola hanya perlu menang baki 12 perlawanan musim ini untuk mengulangi kejayaan itu, walaupun penyerang dari Norway, Haaland masih belum menemui sentuhan sama di depan gawang seperti musim lalu.

Bagaimanapun dia masih mampu meledak 31 gol dalam 38 perlawanan musim ini ini, tetapi belum berjaya membolosi gawang Madrid dalam tiga pertemuan antara mereka sepanjang tahun lalu, serta gagal menjaringkan gol dalam 13 daripada 20 perlawanan terakhirnya untuk kelab dan negara.

Pengendali City, Guardiola tampil mempertahankan penyerangnya dengan mengetengahkan rekod jaringan dan kejayaan pasukan sejak Haaland menyertai mereka.

Juara Inggeris itu turut merangkul Piala Super Super UEFA dan Piala Dunia Kelab musim ini, serta lebih banyak trofi dijangka menyusul.

City kini mendahului liga yang berbaki enam perlawanan dengan kelebihan dua mata dan akan berdepan Chelsea di separuh akhir Piala FA, Sabtu ini.

"Sasaran bukan untuk menang Ballon d'Or, tetapi menang banyak trofi dan dia melakukannya. Adakah kami boleh menang lima trofi tahun lalu tanpa Haaland? Tiada peluang," kata Guardiola.

Guardiola berkata, penyerang itu turut membuka ruang yang membolehkan Phil Foden dan Josko Gvardiol menjaringkan gol dari luar kotak penalti di Madrid, kerana pemain pertahanan Real lebih terarah untuk menyekat Haaland. - AFP

Berita Harian X