Selasa, 16 April 2024 | 11:39am
Pemain Qatar meraikan gol ketika menentang Indonesia pada aksi pembukaan Piala Asia B-23 dan statistik perlawanan.
Pemain Qatar meraikan gol ketika menentang Indonesia pada aksi pembukaan Piala Asia B-23 dan statistik perlawanan.

Indonesia tumbang angkara dua kad merah

DOHA: Qatar membuka kempen Kumpulan A Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) di tempat sendiri dengan kemenangan 2-0 ke atas Indonesia yang dilayangkan dua kad merah di Stadium Jassim bin Hamad, malam tadi.

Qatar menjaringkan gol pendahuluan pada masa kecederaan babak pertama menerusi sepakan penalti Khaled Ali sebelum Ahmed Al Rawi menjaringkan gol kedua menerusi sepakan percuma menarik, selepas Indonesia bermain dengan 10 pemain seminit selepas babak kedua bermula.

Qatar mengasak sejak wisel permulaan, tetapi Mostafa Meshaal dan Mahdi Salem gagal menewaskan penjaga gol Indonesia, Ernando Ari pada minit ke-14 dan 17.

Bagaimanapun, Indonesia mula mendapat rentak dan penjaga gol Qatar, Youssef Abdullah bertindak cemerlang menafikan tandukan Muhammad Ferarri pada minit ke-36 sebelum percubaan Rafael Struick terkena palang tiga minit kemudian.

Kekasaran yang dilakukan kapten Indonesia, Rizky Ridho ke atas Salem membawa padah apabila Qatar dianugerahkan sepakan penalti selepas reviu Video Bantuan Pengadil (VAR) dan Ali mudah menyempurnakan peluang itu sebelum rehat.

Indonesia memulakan babak kedua dengan agresif, namun terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Ivar Jenner dilayangkan kad kuning kedua beberapa saat selepas babak kedua bermula.

Situasi bertambah sukar buat Indonesia pada minit ke-54 apabila Witan Sulaeman mengasari Meshaal dan Al Rawi menjaringkan gol kedua menerusi sepakan percuma melencong.

Semakan VAR menyaksikan pemain gantian Indonesia, Ramadhan Sananta dilayangkan kad merah pada hujung perlawanan kerana kekasaran terhadap Mohammed Aiash. - AGENSI

Berita Harian X