Selasa, 16 April 2024 | 11:31am
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola yakin anak buahnya mampu mengatasi Real Madrid pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Etihad, Manchester. - Foto AGENSI
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola yakin anak buahnya mampu mengatasi Real Madrid pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Etihad, Manchester. - Foto AGENSI

Pemain Man City suka situasi genting - Guardiola

MANCHESTER: Pep Guardiola mengakui Manchester City kendaliannya gemar bermain di bawah tekanan menjelang aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid.

City memenangi gelaran Eropah sulung mereka musim lalu hasil jaringan Rodri dalam aksi final menentang Inter Milan, sekali gus melengkapkan kejuaraan treble bersama Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.

Pengendali dari Sepanyol itu kini berpeluang menjadi pengurus pertama membawa kelab Inggeris memenangi treble dua kali berturut-turut.

Peluang itu semakin terbuka selepas aksi liga hujung minggu lalu yang meletakkan mereka di puncak dengan enam perlawanan berbaki.

Bagaimanapun City perlu mengatasi juara 14 kali Eropah, Real Madrid di Stadium Etihad selepas seri 3-3 pada perlawanan pertama di Santiago Bernabeu.

"Mereka mengejutkan kami dengan posisi pemain dan kami perlu mengkaji semula.

"Carlo (Ancelotti) dengan pengalamannya, mampu mengubah taktikal dan kami perlu bersedia. Tetapi pada masa sama kami akan cuba memberikan tekanan.

"Mereka (pemain-pemain City) sukakan tekanan. Mereka suka berada dalam keadaan genting," kata Guardiola. - AGENSI

Berita Harian X