Ahad, 14 April 2024 | 3:25pm
Skuad B-23 negara menyambut Aidilfitri di Kedutaan Malaysia di Doha, Qatar.
Skuad B-23 negara menyambut Aidilfitri di Kedutaan Malaysia di Doha, Qatar.

Beraya di perantauan tak jejas fokus skuad B-23

KUALA LUMPUR: Ketika orang lain bergembira bersama keluarga di Hari Raya Aidilfitri, pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) pula terpaksa berjauhan dengan keluarga masing-masing selepas memikul tanggungjawab negara di kempen Piala Asia B-23.

Pemain negara sudahpun berada di Qatar sejak awal bulan lalu sebagai persiapan dan mengharungi dua aksi persahabatan berdepan China dan Qatar yang menyaksikan skuad bimbingan Juan Torres Garrido tewas kedua-dua perlawanan.

Situasi ini menyaksikan pemain skuad B-23 terpaksa menyambut raya di perantauan namun pengurus pasukan, Datuk Seri Shahril Mokhtar menegaskan fokus pemain sama sekali tidak terganggu dengan misi di Qatar sentiasa tersemat dalam fikiran masing-masing.

"Walaupun mereka beraya di sini tetapi kita buat persiapan Hari Raya Aidilfitri juga untuk mereka di kedutaan. Memang mereka berada jauh di perantauan tetapi kita cuba nak bagi pemain turut merasai suasana Hari Raya Aidilfitri itu.

"Tetapi sebenarnya, semua pemain sekarang hanya fikirkan pasal bola (Piala Asia B-23) jadi kita boleh nampak yang mereka betul-betul fokus dan bersemangat untuk bermain nanti," kata Shahril.

Sebagai rekod, kempen kali ini menyaksikan skuad Harimau Muda yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka saingan menentang Uzbekistan Rabu ini diikuti aksi bertemu Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April).

Mengulas mengenai persiapan pasukan, Shahril memaklumkan pasukan berada dalam 'mood' yang baik dan pemain juga semakin menunjukkan perkembangan yang positif menjelang sepak mula Piala Asia B-23.

"Keserasian dan persefahaman pemain bertambah baik dan pemain juga dapat menterjemahkan taktikal diterapkan barisan kejurulatihan. Semuanya nampak baik dan saya harap penyokong dapat doakan kejayaan kami di Qatar.

"Berdasarkan persiapan selama lebih tiga minggu ini, saya harapkan pemain dapat mencapai kemuncak prestasi mereka pada pertandingan ini nanti," katanya.

Jadual

Piala Asia B-23

Kumpulan D

Rabu

Uzbekistan mln Malaysia, 9 mlm

Sabtu

Malaysia mln Vietnam, 9 mlm

23 April

Kuwait mln Malaysia, 11.30 mlm

Berita Harian X