Sabtu, 13 April 2024 | 8:13am
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menganggap musim ini paling sukar baginya di Liga Perdana Inggeris. - Foto AGENSI
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menganggap musim ini paling sukar baginya di Liga Perdana Inggeris. - Foto AGENSI

Ini musim paling sukar - Guardiola

MANCHESTER: Pep Guardiola mendakwa musim ini adalah yang paling sukar baginya sejak beberapa tahun lalu tetapi yakin Manchester City masih mampu memburu tiga kejuaraan.

City, yang kali pertama berada dalam perebutan tiga penjuru untuk gelaran liga di bawah Guardiola, akan berdepan jadual padat sekiranya mereka berjaya mengatasi Real Madrid untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah buat kali keempat berturut-turut.

Persaingan dengan Arsenal dan Liverpool, ditambah dengan kecederaan pemain-pemain - termasuk Kevin De Bruyne yang terlepas lima bulan pertama - menyaksikan City baru menunjukkan taring mereka selepas kejuaraan treble musim lalu.

Rodri berkata dia memerlukan rehat menjelang kunjungan Luton Town ke Stadium Etihad tetapi Guardiola percaya pemain Sepanyol tetap akan bersedia untuk aksi Liga Perdana Inggeris itu.

"Kami sedar apa kami bermain untuk apa. Mereka tahu betapa sukarnya musim ini atas beberapa sebab, mungkin musim paling sukar setakat ini.

"Kami sedar betapa sukarnya keadaan kami dalam banyak situasi musim ini dan kami masih berada di sana. Saya tahu pemain-pemain pasti bersedia.

"Kami tahu apa yang perlu dilakukan. Kami pernah melakukannya dan kami sedar apa yang perlu dilakukan.

"Saya pasti Rodri akan bersedia untuk esok (malam ini). Saya cukup kenal dengannya kerana selepas perlawanan Madrid dia amat letih. Dia kembali daripada perlawanan Crystal Palace yang juga sukar, tetapi saya tahu dirinya. Dia akan tetap bersedia.

"Bukan hanya Rodri. Jika boleh saya mahu merehatkan semua bek tengah, tetapi tidak mampu. Kami dalam keadaan sukar, jadi mereka tidak boleh berehat," kata Guardiola.

Guardiola turut menukar corak latihan kepada hanya sesi taktikal dan mengembalikan kecergasan bagi menangani jadual padat.

"Rehat, jangan banyak berfikir. Jangan berlatih, urut, air, panas dan sejuk. Makan dan rehat betul-betul. Tonton video dan rehat, rehat, rehat. Jika tidak lebih ramai akan cedera," katanya. - AGENSI

Berita Harian X