Jumaat, 12 April 2024 | 3:11pm
Pengendali Aston Villa, Unai Emery. - Foto REUTERS
Pengendali Aston Villa, Unai Emery. - Foto REUTERS
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta. - Foto AGENSI
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta. - Foto AGENSI

Villa bakal uji kekuatan sebenar Arsenal

LONDON: Prestasi semasa Arsenal di Liga Perdana Inggeris meletakkan mereka semakin hampir untuk gelaran pertama dalam tempoh 20 tahun tetapi ramai masih ragu-ragu keupayaan skuad Mikel Arteta menghalang cabaran Manchester City dan Liverpool.

Baki perlawanan Arsenal jauh lebih sukar berbanding City dan Liverpool, dan halangan pertama Arteta ialah memastikan tidak tercicir mata di tangan Aston Villa kendalian Unai Emery pada Ahad di Emirates.

Anak buah Arteta akan bertandang ke Wolverhampton Wanderers pada minggu berikutnya, kemudian melayan kunjungan Chelsea dan seterunya mengunjungi Tottenham Hotspur, diikuti aksi menentang Manchester United di Old Trafford.

Ditambah dengan aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Bayern Munich tiga hari selepas aksi Villa, tekanan begitu tinggi buat Arsenal untuk mengekalkan kedudukan di puncak liga Inggeris.

Beberapa kelemahan di bahagian pertahanan sedikit menjejaskan persembahan Arsenal yang hampir sempurna ketika melayan kunjungan Bayern.

Arsenal tewas 1-0 di Villa pada Disember dan tercicir beberapa mata selepas itu sehingga menjejaskan misi kejuaraan liga, namun mereka bangkit dengan memenangi 10 daripada 11 aksi terakhir liga dan kini mendahului dengan 71 mata, mengatasi Liverpool berdasarkan perbezaan jaringan.

Dengan City hanya satu mata di belakang, Arsenal tidak mampu untuk tercicir sebarang mata dalam baki saingan musim ini.

Kunjungan Villa yang dibimbing bekas pengendali Arsenal, Emery, cukup membimbang pendahulu liga itu.

Emery, yang dipecat Arsenal selepas 18 bulan mengambil alih pasukan, pasti mahu membuktikan sesuatu kepada bekas kelabnya dan kemenangan adalah pembalasan terbaik.

Manchester City berpeluang menambah tekanan ke atas Arsenal dan Liverpool dengan menewaskan Luton Town di Etihad esok, sekali gus merampas seketika teraju liga.

Liverpool pula boleh melonjak ke tangga teratas liga apabila bertemu Crystal Palace di Anfield pada Ahad, sebelum aksi Arsenal dan Villa. - REUTERS

Berita Harian X