Rabu, 10 April 2024 | 2:33pm
Pemain Bayer Leverkusen gigih berlatih menjelang suku akhir pertama Liga Europa menentang West Ham awal pagi Jumaat ini. – Foto X Bayer 04 Leverkusen
Pemain Bayer Leverkusen gigih berlatih menjelang suku akhir pertama Liga Europa menentang West Ham awal pagi Jumaat ini. – Foto X Bayer 04 Leverkusen

Leverkusen layan West Ham, tiga trofi dalam bayangan

BERLIN: Sekiranya Bayer Leverkusen kendalian Xabi Alonso mahu terus memburu tiga trofi, pendahulu Bundesliga itu perlu melepasi cabaran West Ham yang menikmati kejayaan di Eropah akhir-akhir ini.

Leverkusen melayan The Hammers pada suku akhir pertama Liga Europa awal pagi Jumaat ini ketika mereka masih mengekalkan rekod tanpa kalah, menang 36 dan seri lima daripada 41 perlawanan mereka.

Bakal juara Bundesliga itu gah 16 mata di depan pasukan tangga kedua Bayern Munich di Jerman dan mungkin boleh menjulang trofi kejuaraan liga sulung mereka seawal Ahad ini jika menang ke atas Werder Bremen.

Dengan anak buah Alonso turut mara ke final Piala Jerman bulan depan, yang mana mereka berdepan kelab divisyen dua Kaiserslautern yang bergelut dengan penyingkiran, Liga Europa kekal cabaran terbesar mereka untuk menyempurnakan pencapaian treble.

Leverkusen satu daripada nama besar dalam bola sepak Jerman namun kabinet trofi mereka agak kosong dengan hanya dua kejuaraan utama: Piala UEFA 1988 dan Piala Jerman 1993.

Kejuaraan liga dan piala akan menggandakan kutipan trofi mereka dengan mahkota Liga Europa boleh meletakkan Leverkusen di samping kelab terbaik dalam sejarah bola sepak Eropah.

Tuah undian bermakna Leverkusen mungkin berdepan Liverpool pada final di Dublin dalam apa yang dilihat kemungkinan perlawanan terakhir kendalian Jurgen Klopp, sekiranya kedua-dua pasukan terus mencatat kemenangan.

Namun seperti yang dilakukannya sejak awal musim, Alonso enggan membenarkan beliau dan pemainnya terbawa-bawa dengan kejayaan mereka.

"Kami berada dalam keadaan menakjubkan dalam piala, Bundesliga dan kami juga mahu bertindak baik dalam Liga Europa dan meraih sebanyak mungkin kejayaan," kata Alonso selepas kemenangan 1-0 di Union Berlin Sabtu lalu membantu pasukannya melonjak 16 mata di depan.

Alonso meminta pemainnya memberikan sepenuh tumpuan terhadap pelawat dari Liga Perdana Inggeris sekalipun hanya memerlukan satu kemenangan untuk menjulang kejuaraan liga.

"Khamis ini (awal pagi Jumaat) kami ada West Ham di laman sendiri. Ia bukannya saat yang tepat untuk memikirkan mengenai hujung minggu. Kami ada masa, tetapi kami hanya perlu lebih bersabar."

Malah Alonso berjenaka apabila menyatakan semuanya berjalan lebih pantas berbanding yang dijangkakan dalam liga – Bayern hanya dua mata di belakang ketika kedua-dua pasukan bertemu pada pertengahan Februari lalu.

"Saya bercadang untuk melakukannya (meraikan) agak lewat sedikit," kata Alonso kepada wartawan.

"Saya gembira saya boleh melakukannya lebih awal... tetapi ia belum berakhir lagi." – AFP

Berita Harian X