Rabu, 10 April 2024 | 11:18am
Pemain Arsenal, Leandro Trossard (kanan) meraikan gol penyamaannya bersama Kai Havertz ketika menentang Bayern Munich pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Belajar daripada kesilapan di Emirates - Arteta

LONDON: Mikel Arteta melaungkan amaran kepada Arsenal supaya belajar daripada kesilapan ketika seri 1-1 menentang Bayern Munich awal pagi tadi jika mereka mahu layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Pasukan kendalian Arteta memastikan pertembungan suku akhir mereka seimbang terima kasih kepada gol penyamaan lewat permainan Leandro Trossard pada aksi pertama di Stadium Emirates.

Musuh lama Arsenal, Harry Kane tidak mengendahkan ejekan penyokong Gunners bagi menandakan kepulangannya ke utara London apabila tenang menyudahkan penalti yang membolehkan Bayern mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

Gol keenam karier di Emirates bekas penyerang Tottenham itu hadir selepas bekas pemain sayap Arsenal, Serge Gnabry memadamkan gol pendahuluan Bukayo Saka buat Gunners.

Ia malam yang mengecewakan buat Arsenal, yang kelihatan teragak-agak beberapa kali pada penampilan suku akhir pertama mereka dalam Liga Juara-Juara sejak 2010.

Penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer (kiri) membentes pemain Arsenal, Bukayo Saka pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto AFP
Penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer (kiri) membentes pemain Arsenal, Bukayo Saka pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto AFP

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu bertindak cemerlang pada 2024, manakala Bayern bergelut mengharungi kempen yang dipenuhi krisis.

Namun status Arsenal sebagai pasukan pilihan untuk layak ke separuh akhir tidak dibantu oleh kesilapan ketika bertahan.

Arteta menggesa pemainnya untuk menggunakan pengalaman itu sebagai aset berharga untuk mengubah keadaan pada aksi kedua di Munich seminggu lagi.

"Kami akan ke Munich sekali lagi. Kami masih berpeluang. Perlawanan menjadi sukar dan mereka sedar mereka perlu meningkat ke satu tahap lagi," katanya.

"Kami melakukan beberapa kesilapan hari ini. Marilah belajar daripadanya. Pemain ini luar biasa. Ia sebahagian daripada bola sepak. Jom sokong mereka.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menjerit memberikan arahan kepada pemainnya pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto AFP
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menjerit memberikan arahan kepada pemainnya pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto AFP

"Saya sedar ada keyakinan di sana. Kami akan pergi ke Munich dan berpeluang memenanginya. Kami akan bertambah baik dalam posisi tertentu dan itulah cara kami akan mempersiapkan pasukan."

Arteta mengakui persembahan memukau Bayern pada babak pertama menjejaskan pasukannya tetapi beliau kagum dengan cara mereka bangkit dan tenang selepas rehat.

"Gol kedua mencetus sedikit rasa kurang selesa dalam pasukan tetapi selepas itu kami bertindak balas dengan baik.

"Pemain gantian, terutamanya Leandro dan Gabriel (Jesus), memberi impak yang besar dengan lenggok tubuh mereka dan inisiatif yang mereka ambil untuk merealisasikan sesuatu." – AFP

Berita Harian X