Rabu, 10 April 2024 | 7:48am
Pemain Manchester City, Phil Foden (kiri) menjaringkan gol kedua pasukannya menentang Real Madrid pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, Madrid awal pagi tadi. – Foto AFP
Pemain Manchester City, Phil Foden (kiri) menjaringkan gol kedua pasukannya menentang Real Madrid pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, Madrid awal pagi tadi. – Foto AFP

Real Madrid diikat City di laman sendiri

MADRID: Real Madrid dan Manchester City bertarung dalam satu perlawanan menarik yang berakhir 3-3 pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi tadi, meninggalkan pertemuan dua pemenang terakhir trofi itu terbuka luas bagi aksi kedua.

Federico Valverde memastikan keputusan seri buat Real lewat permainan selepas City mendahului 3-2 menerusi jaringan Phil Foden dan Josko Gvardiol susulan gol sendiri Ruben Dias dan jaringan Rodrygo yang membolehkan tuan rumah mendahului ketika rehat di ibu negara Sepanyol itu.

"Ia menghiburkan, (perlawanan) yang memartabatkan pertandingan ini, dengan dua pasukan menyerang. Tiga gol (babak kedua) amat luar biasa. Kami mendahului tetapi mereka menyamakan kedudukan... itulah bola sepak," kata pengurus City, Pep Guardiola.

Penyokong tuan rumah tergamam selepas dua minit apabila pemain tengah City, Bernardo Silva mengambil kesempatan susulan benteng seorang pemain untuk merembat leret sepakan percuma dari jarak 40 meter melepasi Andriy Lunin untuk membolehkan pelawat mendahului.

Pemain Real Madrid, Federico Valverde (dua dari kiri) meraikan gol ketiga pasukannya bersama rakan sepasukan pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Manchester City di Santiago Bernabeu, Madrid awal pagi tadi. – Foto AFP

Ia kesilapan bodoh dilakukan penjaga gol dari Ukraine itu yang kelihatan menanti hantaran silang dan membiarkan sebelah kanannya tidak dijaga rapi. Dia berjaya menyentuh bola itu tetapi gagal menolak keluar.

Lebih memilukan, pemain tengah Real Aurelien Tchouameni, bermain sebagai pertahanan tengah bidan terjun, dilayangkan kad kuning susulan kekasaran ke atas Jack Grealish yang menjurus kepada gol itu dan akan terlepas aksi timbal balik di Manchester minggu depan.

Tanpa pemain tengah Kevin De Bruyne, yang diletakkan di bangku simpanan selepas kurang sihat, City cuba menggunakan kesempatan permulaan buruk Real dan patut mengukuhkan kedudukan mereka.

Eduardo Camavinga kemudian membantu menyamakan kedudukan selepas 12 minit apabila percubaan jarak jauhnya terkena pemain pertahanan Dias bagi gol sendiri bila mana penjaga gol Stefan Ortega tersalah langkah.

Pemain Manchester City, Mateo Kovacic (dua dari kanan) dikawal ketat pemain Real Madrid, Eduardo Camavinga (kiri) dan Federico Valverde pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, Madrid awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Dua minit kemudian Vinicius Jr menghasilkan satu lorongan bola mengagumkan yang menemui Rodrygo sebelum rembatan lemahnya terbias tumit Manuel Akanji untuk membolehkan tuan rumah mendahului.

Namun ketika Real kelihatan akan menyumbat gol ketiga, pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-66 dengan jaringan mengagumkan daripada Foden ke penjuru gol dan mendahului apabila Gvardiol melakukan jaringan hampir sama lima minit kemudian bagi gol pertamanya bersama City.

Real bagaimanapun enggan mengalah dan Valverde menghasilkan satu rembatan voli menakjubkan pada minit ke-79 untuk memaksa seri pada satu lagi malam epik Liga Juara-Juara dan menyebabkan peminat teruja menanti aksi kedua di Manchester minggu depan. – REUTERS

Berita Harian X