Selasa, 9 April 2024 | 11:06am
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola bercakap sesuatu dengan penyerangnya Erling Haaland ketika sesi latihan menjelang pertemuan dengan Real Madrid pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi esok. – Foto REUTERS
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola bercakap sesuatu dengan penyerangnya Erling Haaland ketika sesi latihan menjelang pertemuan dengan Real Madrid pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi esok. – Foto REUTERS

Mustahil City belasah Madrid sekali lagi - Guardiola

MADRID: Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola berkata ia "hampir mustahil" untuk mengulangi kemenangan besar mereka ke atas Real Madrid musim lalu apabila mereka bertemu pada suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi esok.

City membenam pemenang rekod 14 kali Madrid 5-1 secara agregat pada separuh akhir musim lalu dalam laluan merangkul trofi itu namun Guardiola berkata menjelang aksi pertama di Santiago Bernabeu, beliau tidak menjangkakan pasukannya mengulangi pencapaian itu.

"Untuk mengalahkan Real Madrid dua kali dengan cara yang sama sesuatu yang hampir mustahil," kata Guardiola pada sidang akhbar.

"Untuk mengalahkan mereka sekali sudah sukar, bayangkan dua kali berturut-turut."

Guardiola berkata Madrid, yang diketuai pemain antarabangsa England, Jude Bellingham, satu pasukan yang berbeza berbanding musim lalu.

"Kami mempunyai pemain baharu, mereka mempunyai pemain baharu, mereka benar-benar kini berbeza," kata bekas jurulatih Barcelona itu.

"Kami bermain aksi kedua di laman sendiri, kami berasa kuat, kami amat yakin (di sana)... di sini ia pasti berbeza, kami jangkakan perlawanan berbeza sekalipun pasukannya sama.

"Mereka boleh turun dan bertahan dengan kemas, setiap orang tahu kekuatan mereka bila mana menyerang, dengan Rodrygo, Bellingham, Vinicius, mereka mempunyai kepantasan yang luar biasa.

"Kami perlu cuba dan menyukarkan mereka, menghukum mereka, biarkan mereka tahu kami di sini, untuk menjaringkan gol."

Guardiola berkata, pemain pertahanan Josko Gvardiol hadir bersama skuad ke ibu negara Sepanyol itu tetapi "diragui" bagi pertembungan itu, manakala dua pemain yang cedera Kyle Walker dan Nathan Ake tidak bersama mereka. – AFP

Berita Harian X