Isnin, 8 April 2024 | 3:09pm
Stadium Sultan Ibrahim di Johor antara pilihan untuk aksi Harimau Malaya. - Foto FB Darul Takzim FC & Johor FA
Stadium Sultan Ibrahim di Johor antara pilihan untuk aksi Harimau Malaya. - Foto FB Darul Takzim FC & Johor FA

Harimau Malaya sedia tukar 'kandang'

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya sedia untuk menukar 'kandang' sekiranya padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil tidak berada pada tahap terbaik bagi mengharungi aksi antarabangsa pada masa akan datang.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi lagi dengan keadaan padang teruk bagi perlawanan membabitkan skuad bimbingan Kim Pan Gon.

Ia kerana sudah banyak kali isu padang teruk di Stadium Nasional membelenggu Harimau Malaya dengan ia turut memberi kesan kepada persembahan pasukan dan pemain terdedah kepada risiko kecederaan.

Pada 26 Mac lalu, Harimau Malaya juga terpaksa beraksi di atas permukaan padang tidak sempurna ketika tewas 0-2 kepada Oman dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Seterusnya, Harimau Malaya akan mengharungi aksi terakhir Kumpulan D di tempat sendiri berdepan Taiwan pada 11 Jun depan dengan gelanggang yang akan digunakan untuk aksi itu masih belum diputuskan.

Naib Presiden FAM, Firdaus Mohamed menegaskan bahawa pihaknya akan melihat stadium alternatif terbaik yang lain sekiranya Stadium Nasional tidak berada pada tahap terbaik.

"Kami tidak akan berkompromi lagi dengan keadaan padang. Pemain adalah keutamaan kami dan kami tidak akan mengambil risiko daripada berlaku lebih banyak kecederaan.

"Sekiranya (Stadium Nasional) tidak boleh digunakan, kita akan melihat pilihan lain seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak (Terengganu) atau Stadium Sultan Ibrahim di Johor.

"Ia sama dengan menyewa apartmen, sebelum membuat keputusan kita kena pastikan ia sesuai didiami. Apabila kita mula membayar, kita mengharapkan yang terbaik," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Semalam, BH Sukan melaporkan bekas pemain kebangsaan, Safee Sali mencadangkan Harimau Malaya tidak lagi beraksi di atas padang teruk sambil menyifatkan faktor padang menjadi antara penyumbang kekalahan Harimau Malaya kepada Oman.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam kenyataan, Sabtu lalu memaklumkan bahawa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengeluarkan moratorium jangka pendek menghalang sebarang pemasangan struktur pentas membabitkan persediaan konsert di atas padang Stadium Nasional.

Keputusan itu susulan daripada bedah siasat terhadap keadaan padang Stadium Nasional ketika perlawanan Malaysia dan Oman.Moratorium itu akan dilaksana sehingga kondisi rumput mencapai tahap yang baik, sekali gus bakal memberi peluang cerah untuk padang Stadium Nasonal bersedia bagi aksi Malaysia dan Taiwan nanti.

Berita Harian X