Isnin, 8 April 2024 | 8:18am
Reaksi kapten Liverpool, Virgil van Dijk selepas pasukannya hanya mampu seri 2-2 dengan Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Manchester lewat malam tadi. – Foto REUTERS
Reaksi kapten Liverpool, Virgil van Dijk selepas pasukannya hanya mampu seri 2-2 dengan Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Manchester lewat malam tadi. – Foto REUTERS

Seri dengan United bagaikan kalah - Van Dijk

MANCHESTER, England: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk berkata keputusan seri dramatik 2-2 di Manchester United lewat malam tadi bagaikan satu kekalahan selepas mencicirkan dua mata dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Pelawat mendominasi majoriti perlawanan itu namun memerlukan penalti Mohamed Salah enam minit sebelum tamat untuk mengelak kekalahan selepas jaringan menakjubkan daripada Bruno Fernandes dan Kobbie Mainoo.

Keputusan seri itu menyebabkan Liverpool ketinggalan di belakang pendahulu Arsenal menerusi perbezaan jaringan dan hanya satu mata di depan Manchester City dengan berbaki tujuh perlawanan dalam persaingan memburu kejuaraan paling sengit.

Di sebalik United bergelut musim ini, Liverpool gagal menundukkan anak buah Erik ten Hag dalma tiga pertemuan.

United menang aksi suku akhir Piala FA yang menarik 4-3 tiga minggu lalu dan seri 0-0 di Anfield pada Disember lalu.

Pemain Liverpool, Luis Diaz (kiri) meraikan gol pertama pasukannya bersama kapten Virgil van Dijk pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United di Old Trafford, Manchester lewat malam tadi. – Foto REUTERS

"Ia bagaikan satu kekalahan," kata Van Dijk. "Ia silap kami sekali lagi.

"Kami mempunyai terlalu banyak peluang dan kami patut menamatkan perlawanan itu dengan kemenangan."

Sekiranya The Reds gagal melengkapkan musim terakhir kendalian Jurgen Klopp dengan memenangi kejuaraan utama liga Inggeris kali ke-20, sekali gus menyamai rekod United, mereka pasti akan merenung semula perlawanan malam tadi dan tertanya-tanya bagaimana mereka gagal untuk menang.

Bagi Liverpool, ia cerita sama seperti perlawanan Piala FA apabila mereka mensia-siakan banyak peluang untuk mengukuhkan pendahuluan mereka dan berakhir dengan dihukum oleh United.

Liverpool menamatkan babak pertama dengan 15 percubaan berbanding tiada langsung buat United. – AFP

Berita Harian X