Sabtu, 6 April 2024 | 5:27pm
Reaksi kecewa pemain Malaysia selepas tewas 0-2 dengan Oman pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Reaksi kecewa pemain Malaysia selepas tewas 0-2 dengan Oman pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Harimau Malaya patut panik

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak negara perlu menekan butang panik selepas ranking Harimau Malaya jatuh enam anak tangga dalam kemas kini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Malah, kejatuhan ranking susulan dua kekalahan berturut-turut kepada Oman dalam Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menyaksikan Harimau Malaya dipintas Indonesia selepas enam tahun.

Indonesia naik lapan anak tangga untuk menghuni tempat ke-134 dunia sementara Malaysia yang sebelum ini berada di tangga 132 jatuh ke kedudukan 138.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menegaskan semua pihak harus sedar bahawa pentingnya persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan dalam kalendar FIFA yang mana ia menyumbang mata kepada pasukan negara.

"Kita sekarang bukan sahaja perlu tekan butang panik, tetapi semua kena sedar bahawa takkan kita masih lagi perlu belajar mengenai persiapan, kita kena tahu berkenaan persiapan yang rapi.

"Kita berehat, pasukan lain sedang bekerja kuat. Kita tengok Indonesia, sebelum aksi kelayakan Piala Dunia mereka di bawah kita, tapi secara tiba-tiba mereka bangkit kalahkan Vietnam, pasukan ranking lebih baik dari mereka," katanya kepada BH Sukan.

Harimau Malaya yang tewas 0-2 dalam dua aksi berdepan Oman, bulan lalu hilang 14.53 mata dengan skuad kendalian Kim Pan Gon kini menghimpun 1094.54 mata bagi kemaskini terbaharu FIFA.

Dua kekalahan itu dikatakan berpunca daripada masalah pemain kekurangan 'match fitness' atau kecergasan dalam perlawanan susulan rehat panjang dengan ketiadaan aksi Liga Malaysia (Liga M) selepas kembali dari tugasan Piala Asia 2023, Januari lalu.

Mengulas lanjut, Azlan menyifatkan Harimau Malaya perlu menyalahkan diri sendiri susulan persiapan kurang baik yang membawa kepada kekalahan di tangan Oman.

Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah Harimau Malaya perlu kembali bekerja keras untuk memperbaiki semula ranking kerana ia penting bagi menghadapi kejohanan antarabangsa.

"Ini (ranking Harimau Malaya) semua berpunca kekalahan kepada Oman, nampak nyata kita melakukan kesilapan sendiri yang menyebabkan kita kalah.

"Kita kena tahu padah daripada kekalahan itu dan setiap kejohanan dalam kalendar FIFA kita tak boleh ambil ringan, kena buat persiapan rapi. Apabila kalah, kita sudah tak boleh nak patah balik, hilang mata dan kedudukan dipotong pasukan lain.

"Ranking FIFA akan membawa banyak keuntungan kepada pasukan yang mana kita berpeluang berdepan pasukan ranking lebih bawah jika ada undian untuk sesuatu kejohanan nanti," katanya.

Berita Harian X