Sabtu, 6 April 2024 | 4:52pm
Pemain KDA FC ketika beraksi dalam Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman. - NSTP/SYAHARIM ABIDIN
Pemain KDA FC ketika beraksi dalam Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman. - NSTP/SYAHARIM ABIDIN

Sejarah pahit bola sepak Kedah

ALOR SETAR: Penyokong Kedah Darul Aman (KDA FC), terkilan dan kecewa selepas kelab Sang Kenari dikenakan hukuman pemotongan tiga mata serta denda RM50,000 pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 yang bakal bermula Mei depan.

Ini susulan kegagalan KDA FC membuat pembayaran penuh tunggakan gaji pemain dari skuad musim lalu selepas diberikan masa untuk menyelesaikannya sebelum 30 Mac lalu.

Pengerusi Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA), Nor Hasmadi Hamzah berkata, perkara ini menjadi satu sejarah pahit buat bola sepak Kedah dan mengejutkan penyokong kerana perkara seperti ini belum pernah terjadi sebelum ini.

"Nampak penat pada tempoh memasuki musim baharu ini, sudahlah mata kena potong, kami pula didenda dalam tunggakan yang masih belum dijelaskan sepenuhnya. Macam-macam macam halangan untuk ditempuhi memasuki musim baru ini, lepas satu bab, ke satu bab.

"Belum ada dalam sejarah bola sepak Kedah, mata dipotong sebelum memulakan liga, dan kami turut bersama-sama pasukan dalam merasai setiap tekanan yang dihadapi pada musim ini.

"Oleh itu, kami mohon pihak atasan seperti kerajaan negeri atau orang atasan termasuk usahawan negeri agar tampil membantu jika kesulitan ini tidak dapat ditangani oleh pihak KDA FC sendiri pada musim ini," katanya.

Kenyataan diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kelmarin menyebabkan Kedah bakal memulakan saingan dengan kiraan negatif tiga mata pada carta saingan Liga Super.

Lebih parah Kedah juga berisiko tidak diberi Lesen Kebangsaan sekiranya Sang Kenari gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada 20 April depan.

Dalam pada Nor Hasmadi juga masih berharap pemilik KDA FC Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi itu bagi mengelak skuad kesayangan mereka 'hilang' dari radar Liga M musim ini.

Berita Harian X