Jumaat, 5 April 2024 | 4:24pm
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi (dua dari kiri) ketika Kongres Tahunan FAM ke-60 baru-baru ini. - BERNAMA
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi (dua dari kiri) ketika Kongres Tahunan FAM ke-60 baru-baru ini. - BERNAMA

FAM buat siasatan dalaman terlebih dahulu

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) enggan terburu-buru untuk membuat laporan polis berkaitan isu surat layang yang memburukkan badan induk itu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan badan induk itu mahu melakukan siasatan dalaman dahulu sebelum membuat laporan polis.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi laluan kepada bahagian integriti FAM untuk melakukan siasatan dalaman terlebih dahulu sebelum langkah seterusnya diambil.

"Bukannya lambat (buat laporan Polis), bukannya mahu jawatankuasa berkenaan bersedia saja. Memang ada proses iaitu bahagian integriti dahulu. Kita nak bincang dahulu dan lihat semua faktor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman dan Kerjasama (MoU) antara Super Football League (SFLI) dan Persatuan Bolasepak Melayu Melaka serta pelancaran Liga M5 Negeri Sembilan dan Melaka 2024, semalam.

Terdahulu, tular di media sosial 'surat layang' dalam bentuk e-mel yang seakan memberi beberapa gambaran buruk terhadap kepimpinan dan pengurusan FAM.

Selain itu, Mohd Yusoff turut menjelaskan FAM akan menubuhkan pasukan khas dalam usaha mengenal pasti punca sebenar hingga muncul beberapa isu seperti yang dinyatakan dalam surat layang terbabit.

Beliau berkata, penubuhan pasukan itu akan diketuai Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram dan akan memulakan tugasan dalam tempoh terdekat.

"Kita akan ambil tindakan satu persatu iaitu pada peringkat awal akan beri laluan kepada jawatankuasa integriti sebelum menubuhkan pasukan khas.

"Pasukan khas akan melihat beberapa isu termasuklah membabitkan Setiausaha Agung. Kita akan mengambil pendekatan berkaitan isu kakitangan FAM dengan mendengar luahan mereka," katanya.

Berita Harian X