Khamis, 4 April 2024 | 10:40pm
Beberapa pemain baharu Kedah tidak boleh didaftarkan sekiranya pengurusan tidak menyelesaikan segera sekatan yang dikenakan FIFA.
Beberapa pemain baharu Kedah tidak boleh didaftarkan sekiranya pengurusan tidak menyelesaikan segera sekatan yang dikenakan FIFA.

Apa nasib pemain baharu Kedah?

KUALA LUMPUR: Kedah Darul Aman (KDA) FC tampak bakal menyajikan musim yang menarik buat penyokong Liga Malaysia (Liga M) selepas menjadi antara pasukan yang paling rancak 'membeli-belah' sebelum musim 2024/25 membuka tirainya, bulan depan.

Setakat ini, skuad bimbingan Nafuzi Zain sudah mengikat tujuh pemain tempatan dan empat pemain import sekali gus menyaksikan barisan pemain yang lebih segar dan mantap untuk memberi cabaran bagi musim baharu nanti.

Bagaimanapun, 'khabar gembira' itu bagaikan direntap selepas skuad 'Sang Kenari' dikenakan sekatan untuk pendaftaran pemain baharu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berdasarkan maklumat di laman sesawang knowledge.fifa.com.

Maklumat di laman sesawang itu menyatakan KDA FC dikenakan sekatan pendaftaran pemain sejak 4 Mac lalu namun semakan lanjut mendapati hanya ada satu kes membabitkan pasukan itu setakat ini.

Sekatan pendaftaran pemain itu bukanlah satu tindakan disiplin yang 'biasa-biasa' memandangkan hukuman itu menyebabkan KDA FC tidak dapat mendaftarkan sama ada pemain tempatan mahupun pemain import.

Lebih dahsyat, pasukan itu turut tidak dibenarkan mendaftarkan pemain baharu bagi tempoh tiga jendela pendaftaran sekali gus menimbulkan persoalan terhadap beberapa rekrut baharu yang ditandatangani KDA FC musim ini.

Jika KDA FC benar-benar dikenakan sekatan pendaftaran, apa nasib pemain baharu KDA FC musim ini ataupun KDA FC sudah memiliki strategi untuk menyelesaikan masalah itu sekali gus sekatan itu bakal ditarik semula oleh FIFA?

Ketika diminta mengulas mengenai isu ini, pengurusan KDA FC menjelaskan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Sementara itu, KL City FC tidak berdepan sebarang masalah untuk mendaftarkan mana-mana pemain baharu selepas pasukan itu sudah 'dibebaskan' daripada sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard menyatakan perkembangan mengenai sekatan pendaftaran pemain ditarik balik itu sudahpun disahkan FIFA sendiri menerusi Sekretariat Umum FIFA dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"KL City FC sudah lunaskan (hutang bekas pemain) pada 27 Mac jadi KL City FC sudah dibebaskan daripada sekatan pendaftaran pemain," kata Stanley.

Senarai pemain baharu KDA FC musim 2024/25

● Syafiq Ahmad

● Afeeq Ikmal

● Faiz Nasir

● Zambri Pin

● Irfan Zakaria

● Hasbullah Abu Bakar

● Wan Mohd Syazmin

● Sony Norde

● Sukhrob Nurullaev

● Habib Harron

● Milos Gordic

Berita Harian X