Khamis, 4 April 2024 | 9:30pm
Pemain skuad B-23 negara menjalani latihan di Doha, Qatar.
Pemain skuad B-23 negara menjalani latihan di Doha, Qatar.

Garrido lega pasukan makin mantap

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara menunjukkan perkembangan positif menjelang sepak mula Piala Asia selepas pemain dapat menterjemahkan perancangan yang dimahukan barisan kejurulatihan di atas padang.

Bagaimanapun, pengendali skuad B-23 negara, Juan Torres Garrido melihat cabaran sebenar perlu diharungi skuad 'Harimau Muda' adalah bagaimana untuk mengekalkan corak permainan yang dimahukan ketika berdepan pasukan yang lebih mantap di Qatar nanti.

"Saya berpuas hati dengan perkembangan pemain dan kita berbincang dengan mereka mengenai identiti dan corak permainan kita. Sudah tentu ada penambahbaikan perlu dilakukan tetapi kita dapat melakukan apa yang dirancang dengan baik.

"Cabaran kita selepas ini adalah untuk mengekalkan corak permainan yang sama apabila berdepan pasukan yang kuat nanti. Sudah tentu ia akan menjadi bertambah sukar buat kami," kata Garrido.

Sebagai rekod, skuad B-23 diundi dalam Kumpulan D bagi edisi kali ini bersama Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam.

Dalam perkembangan sama, Garrido mengakui aspek fizikal bukanlah satu kekuatan buat anak buahnya selepas mengambil kira mereka akan berdepan dengan pasukan yang terkenal dengan kelebihan fizikal seperti Kuwait dan Uzbekistan.

"Sudah tentu ini bukanlah kekuatan kita kerana kita masih dalam pramusim. Tetapi kita perlu menggunakan kelebihan yang kita ada dengan pemain yang kita bawa ke Qatar.

"Kita tidak boleh menewaskan lawan dengan kekuatan mereka jadi kita perlu bermain dengan bijak dan gunakan kelebihan yang kita ada," katanya.

Berita Harian X