Rabu, 3 April 2024 | 11:24am
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola (kanan) mahu Erling Haaland (kiri) dihormati sebagai penjaring terbaik dunia. - Foto AGENSI
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola (kanan) mahu Erling Haaland (kiri) dihormati sebagai penjaring terbaik dunia. - Foto AGENSI

Guardiola bidas kritikan Keane ke atas Haaland

LONDON: Pep Guardiola berkata Erling Haaland perlu dihormati sebagai 'penjaring terbaik dunia' selepas bintang Manchester City itu dikritik oleh Roy Keane.

Bekas kapten Manchester United, Keane berkata permainan Haaland secara keseluruhan sangat teruk dan hampir seperti pemain Liga Dua.

Haaland dikecam Keane susulan persembahan hambar City dalam keputusan seri tanpa jaringan menentang pesaing kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Arsenal pada Ahad.

Haaland adalah penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim ini dengan 18 gol selepas memenangi Kasut Emas musim lalu ketika musim sulung bersama City.

Dia meledak 52 gol dalam semua pertandingan untuk skuad kendalian Guardiola menjulang treble Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA.

Guardiola tidak bersetuju dengan kenyataan Keane, menegaskan kesalahan untuk keputusan seri menentang Arsenal perlu diletakkan ke atas satu pasukan.

"Saya tidak bersetuju dengannya. Dia (Haaland) adalah penyerang terbaik di dunia dan membantu kami memenangi apa yang kami menang musim lalu. Erling luar biasa.

"Punca kami tidak mencipta peluang bukan kerana Erling. Standard yang Erling ada sukar dipercayai dan semua orang mengharapkan perkara lain.

"Ada perlawanan dia beraksi lebih baik tetapi ketika menentang Arsenal saya tahu kami tidak mencipta peluang bukan kerana Erling.

"Kami perlu lebih berkesan di dalam kotak. Jika ia berlaku, Erling akan mempunyai lebih ruang. Jika anda mahu menjaringkan gol, bawa lebih ramai pemain kepada penjaga gol lawan, ia semudah itu," kata Guardiola.

Kegagalan City menewaskan Arsenal menjejaskan misi mereka untuk memburu gelaran liga Inggeris keempat berturut-turut.

Mereka kini ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Liverpool, menjelang kunjungan Aston Villa ke Stadium Etihad hari ini. - AFP

Berita Harian X