Isnin, 1 April 2024 | 9:34am
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berkata Liverpool kini adalah pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris. - Foto REUTERS
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berkata Liverpool kini adalah pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris. - Foto REUTERS

Liverpool pilihan juarai liga - Guardiola

MANCHESTER: Pep Guardiola berkata Liverpool kini adalah pilihan untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris yang berbaki sembilan perlawanan musim ini selepas Manchester City dan Arsenal seri tanpa jaringan di Stadium Etihad.

Liverpool bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Brighton 2-1 di Anfield dan memintas Arsenal dengan kelebihan tiga mata sebelum anak buah Mikel Arteta bertemu Man City kendalian Guardiola.

Ketika ditanya adakah Liverpool kini di kedudukan utama untuk menjuarai liga, Guardiola berkata: "Iya. Siapa di atas dia adalah pilihan, kedua ialah Arsenal dan kami ketiga.

"Ia bukan di tangan kami. Apa yang kami boleh lakukan ialah memberi tumpuan kepada Aston Villa (pada Rabu). Jika anda berada di puncak - seperti kami pernah lalui - anda adalah pilihan.

"Sudah tentu kami ingin menang. Kami akur dengan satu mata. Perlawanan yang sengit. Saya kenal pasukan saya, saya sangat bangga. Mereka sudah mencuba.

"Kami tunjukkan matlamat kami. Kita lihat apa yang akan berlaku. Kami perlu menyegarkan minda dan kembali cergas sebelum Aston Villa."

Pemain Manchester City, Bernardo Silva mengakui mereka kini mengharapkan Liverpool dan Arsenal tercicir mata dalam baki saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. - Foto REUTERS
Pemain Manchester City, Bernardo Silva mengakui mereka kini mengharapkan Liverpool dan Arsenal tercicir mata dalam baki saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. - Foto REUTERS

Pemain tengah City, Bernardo Silva berkata, mereka kini mengharapkan Liverpool dan Arsenal tercicir mata untuk membolehkan mereka mengekalkan kejuaraan.

"Kini kami tidak bergantung kepada diri sendiri, kami mengharapkan Liverpool dan Arsenal kerana kami tidak akan bertemu mereka lagi.

"Kami memerlukan mereka tercicir mata dan pada masa sama menyempurnakan tugas kami serta menang semua perlawanan. Hari ini ia adalah pasukan (Arsenal) berbeza, lebih berpengalaman. - AGENSI

Berita Harian X