Ahad, 31 March 2024 | 3:54pm
Sikh Izhan (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Wisma FAM. - Foto ihsan FAM
Sikh Izhan (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Wisma FAM. - Foto ihsan FAM

China, Qatar ujian terakhir persiap skuad B-23

KUALA LUMPUR: Dua lagi aksi persahabatan yang bakal diharungi skuad Bawah 23 tahun (B-23) selepas tiba di Qatar sememangnya memberi peluang terbaik buat mereka terus mempersiap diri sebelum mengharungi Piala Asia B-23 yang membuka tirainya, 15 April ini.

Penjaga gol skuad B-23 negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengakui rakan sepasukannya harus memanfaatkan kesempatan dalam dua aksi persahabatan berdepan China dan Qatar bagi menambahkan lagi keyakinan selain memperbaiki kelemahan yang masih ada dalam pasukan.

"Dua perlawanan persahabatan ini sangat baik supaya kita dapat lebih bersedia untuk perlawanan besar nanti.

"Walaupun liga belum bermula tetapi saya lihat pemain menunjukkan kesungguhan dalam sesi latihan. Saya yakin semua pemain akan bersedia sepenuhnya dengan perancangan yang disusun barisan kejurulatihan," katanya.

Sebagai rekod, skuad B-23 akan berlepas ke Qatar, awal pagi esok dan Piala Asia B-23 bagi edisi kali ini menyaksikan mereka diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Kuwait dan juga Vietnam.

Dalam masa sama, penjaga gol berusia 22 tahun itu mahu menggunakan pengalamannya 'berguru' bersama skuad kebangsaan untuk membantu skuad bimbingan Juan Torres Garrido di Qatar nanti.

"Saya pernah ke Qatar bersama skuad senior jadi ini kali kedua saya ke sana. Saya akan bawa pengalaman bersama skuad senior ke skuad B-23.

"Peluang memang sukar tetapi saya rasa boleh buat sehabis baik untuk keluarga dan kita mahu layak ke Sukan Olimpik 2024. Ini adalah sasaran utama kita," katanya.

Berita Harian X