Ahad, 31 March 2024 | 3:17pm
Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner (tengah) ketika sesi latihan di Pusat Latihan TFC Gong Badak. - NSTP/Ghazali Kori
Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner (tengah) ketika sesi latihan di Pusat Latihan TFC Gong Badak. - NSTP/Ghazali Kori

3 aksi pemanas badan uji taktikal TFC

KUALA TERENGGANU: Aksi pemanas badan bertemu tiga pasukan menjadi ujian pertama buat skuad Terengganu FC (TFC) sebelum mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner berkata, faktor kecergasan setiap pemain bakal dinilai selepas lebih sebulan menjalani latihan pusat sejak 15 Februari lalu.

Jelas jurulatih kelahiran Croatia yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu, beliau juga berpeluang untuk menilai keserasian dan persefahaman pasukan terutama ada beberapa muka baharu dalam pasukan termasuk tonggak import.

"Aspek taktikal juga bakal ditekankan dalam tiga aksi persahabatan awal ini bagi memastikan pemain benar-benar serasi sebelum tirai Liga M membuka tirainya pada 10 Mei depan.

"Selain itu, keputusan perlawanan juga penting buat pemain bagi meningkatkan lagi motivasi mereka biarpun sekadar aksi pemanas badan.

"Kita harapkan semua pemain yang diberi peluang beraksi mampu memperagakan aksi terbaik mereka sekali gus dapat menilai kelebihan dan kekurangan pasukan," ujar Steinbruckner yang memasuki musim kedua membimbing skuad Penyu.

Mengulas lanjut, beliau berkata tiga pemain yang berada dalam skuad senior kebangsaan baru-baru ini iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan penjaga gol, Suhaimi Husin bakal kembali bersama TFC pada aksi persahabatan itu.

Berdasarkan jadual, naib juara Piala Malaysia musim lalu itu bakal berdepan Selangor II malam ini di Padang Latihan Selangor, diikuti berdepan PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 2 April dan terakhir berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi berdepan Negeri Sembilan.

Berita Harian X