Ahad, 31 March 2024 | 8:43am
Penyerang Tottenham, Son Heung Min (kanan) meledak masuk gol kemenangan ketika menentang Luton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur, London lewat malam tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Tottenham, Son Heung Min (kanan) meledak masuk gol kemenangan ketika menentang Luton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur, London lewat malam tadi. – Foto REUTERS

Tottenham, Villa menang dalam buruan empat teratas

LONDON: Gol lewat permainan daripada Son Heung Min memacu kemenangan 2-1 Tottenham ke atas Luton namun Aston Villa menundukkan Wolves 2-0 untuk merampas semula tangga keempat Liga Perdana Inggeris daripada Spurs lewat malam tadi.

Chelsea kekal di bahagian bawah liga selepas mereka mensia-siakan pendahuluan dua kali di laman sendiri berdepan Burnley yang beraksi 10 pemain apabila seri 2-2.

Spurs kini bangkit daripada ketinggalan untuk menang dalam empat daripada lima aksi di laman sendiri dan memerlukan satu lagi persembahan bertenaga pada babak kedua untuk meneruskan cabaran mereka mengetuk pintu ke Liga Juara-Juara musim depan.

Jaringan Tahith Chong selepas hanya tiga minit memberikan Luton gol pendahuluan mengejutkan, namun The Hatters berakhir di zon penyingkiran apabila rentetan tanpa menang mereka berlanjutan kepada 10 perlawanan.

Pemain gantian Ange Postecoglou selepas rehat sekali lagi mencetus impak buat Tottenham apabila hantaran silang Brennan Johnson ditampan masuk ke dalam gol sendiri oleh Issa Kabore hanya enam minit selepas pemain antarabangsa Wales itu dimasukkan.

Pemain pertahanan Aston Villa, Ezri Konsa (tengah) meraikan gol kedua bersama rakan sepasukannya ketika menentang Wolves pada aksi Liga Perdana Inggeris di Villa Park, Birmingham awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain pertahanan Aston Villa, Ezri Konsa (tengah) meraikan gol kedua bersama rakan sepasukannya ketika menentang Wolves pada aksi Liga Perdana Inggeris di Villa Park, Birmingham awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Heung Min terlepas beberapa peluang pada awal perlawanan tetapi akhirnya dia bertuah apabila rembatannya yang terbias melepasi jangkauan Thomas Kaminski bagi gol ke-15 buatnya musim ini.

"Hingga ke hujung permainan saya makin kecewa tetapi saya mahu bertenang sebagai kapten," kata Heung Min.

"Kami tidak mahu ia sering berakhir sebegini, ia lebih bagus jika kami memenanginya lebih awal."

Kemenangan Tottenham melonjakkan mereka seketika ke tangga keempat, namun Villa membalas ketika gol daripada Moussa Diaby dan Ezri Konsa memberikan mereka kelebihan pada pertembungan jiran tetangga Midlands.

Bos Chelsea, Mauricio Pochettino berdepan satu lagi tamparan di Stamford Bridge apabila pasukannya gagal menggunakan kesempatan beraksi lebih seorang pemain bagi sepanjang babak kedua menentang kelab kedua tercorot Burnley.

Pemain Chelsea, Cole Palmer (tengah) menyumbat gol pertama menerusi penalti ketika menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London lewat malam tadi. – Foto REUTERS
Pemain Chelsea, Cole Palmer (tengah) menyumbat gol pertama menerusi penalti ketika menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London lewat malam tadi. – Foto REUTERS

The Blues kelihatan di ambang meraih kemenangan selepas Lorenz Assignon dibuang padang kerana menjatuhkan Mykhailo Mudryk dalam kawasan penalti.

Bos Burnley, Vincent Kompany turut dilayangkan kad merah kerana membantah secara keterlaluan.

Cole Palmer tenang menyempurnakan sepakan penalti itu, namun pasukan yang beraksi 10 pemain menyamakan kedudukan dua minit selepas rehat susulan penamat menakjubkan Josh Cullen dari luar kotak penalti.

Raheem Sterling diejek ketika kemenangan pada suku akhir Piala FA ke atas Leicester dua minggu lalu namun dia berasakan sudah mencipta gol kemenangan dengan bergaya apabila kuisannya dirembat masuk Palmer.

Chelsea bagaimanapun gagal sekali lagi bertahan apabila Dara O'Shea menanduk masuk sepakan sudut sembilan minit sebelum tamat.

"Hari ini kami tidak menunjukkan kapasiti, tenaga, semangat yang minimum untuk bersaing dalam Liga Perdana," kata Pochettino.

"Dari segi bertahan kami terlalu lemah. Itulah sebabnya kenapa saya terlalu kecewa." – AFP

Berita Harian X