Sabtu, 30 March 2024 | 3:14pm
Jurulatih Selangor FC, Mohd Nidzam Jamil. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Jurulatih Selangor FC, Mohd Nidzam Jamil. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Nidzam percaya kekuatan 'perwatakan' pemain bawa nama Selangor

KUALA LUMPUR: Pengendali baharu Selangor FC (SFC), Nidzam Jamil percaya barisan pemainnya memiliki karakter yang bagus sekali gus menyaksikan pasukan itu bakal mengharungi musim yang menarik.

Nidzam yang juga bekas pemain Selangor itu juga mengharapkan pemainnya dapat sentiasa memberi sokongan kepada rakan sepasukan dan bertekad untuk melakukan sebaik mungkin demi membawa nama 'The Red Giants'.

"Saya suka pemain yang sanggup lakukan sesuatu yang lebih untuk rakan sepasukan. Saya sukakan pemain yang langgar dinding untuk pasukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.

"Saya suka pemain yang apabila keluar dari padang, baju dan seluar mereka basah dan ini menunjukkan bahawa mereka adalah pemain bola sepak.

"Saya tidak suka cantik-cantik dalam bola sepak. Dalam bola sepak, karakter adalah nombor satu dan saya percaya kita ada karakter yang baik dalam pasukan," kata Nidzam.

Dalam perkembangan sama, Nidzam mengakui tanggungjawab selaku jurulatih SFC sememangnya hadir dengan tekanan namun dia berpengalaman berdepan situasi sama ketika bergelar pemain Selangor sebelum ini.

"Semua pekerjaan ada tekanan masing-masing tetapi sebagai jurulatih, saya sudah jangkakan perkara ini kerana di sini, tiada hari tanpa tekanan di mana kita dinilai setiap hari.

"Saya berdepan perkara sama ketika menjadi pemain jadi ini perkara biasa dalam Selangor. Saya fikir dengan tekanan, kita boleh pergi lebih jauh," katanya.

Berita Harian X