Jumaat, 29 March 2024 | 10:09pm
Pemain Manchester City, Kyle Walker (kiri) dan John Stones (kanan) direhatkan untuk aksi Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal pada Ahad. - Foto AGENSI
Pemain Manchester City, Kyle Walker (kiri) dan John Stones (kanan) direhatkan untuk aksi Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal pada Ahad. - Foto AGENSI

Walker, Stones terlepas aksi Man City-Arsenal

MANCHESTER: Manchester City tidak dapat menggunakan khidmat Kyle Walker dan John Stones menjelang aksi penting Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal pada Ahad.

Kedua-dua pemain City itu cedera ketika mewakili England dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Brazil dan Belgium.

Walker digantikan di awal permainan ketika kekalahan 1-0 kepada Brazil akibat masalah hamstring, manakala Stones mengalami masalah otot ketika seri 2-2 menentang Belgium.

Juara bertahan, City kini di tangga ketiga liga, tetapi hanya satu mata di belakang pendahulu, Arsenal yang mengatasi Liverpool dengan perbezaan jaringan.

Ketiadaan tonggak pertahanan bakal merencatkan misi treble skuad kendalian Pep Guardiola, yang akan berdepan Real Madrid pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah 9 April ini.

"(Kecederaan) Kyle lebih teruk berbanding John tetapi mereka akan direhatkan, saya tidak tahu untuk berapa perlawanan," kata Guardiola.

Namun masih ada khabar gembira buat Guardiola apabila Ederson, Manuel Akanji, Jack Grealish dan Kevin De Bruyne kembali cergas sepenuhnya. - AFP

Berita Harian X