Jumaat, 29 March 2024 | 11:04am
Mikel Arteta (kanan) berharap dapat mengecewakan sifunya Pep Guardiola pada aksi genting EPL di Stadium Etihad, Manchester malam Ahad ini. – Foto premierleague.com
Mikel Arteta (kanan) berharap dapat mengecewakan sifunya Pep Guardiola pada aksi genting EPL di Stadium Etihad, Manchester malam Ahad ini. – Foto premierleague.com

Bolehkah Arteta musnahkan cabaran Guardiola?

LONDON: Arsenal berkunjung ke Manchester City malam Ahad ini memburu kemenangan berganda ke atas anak buah Pep Guardiola dalam perlawanan yang mungkin menjadi penentu perebutan tiga penjuru kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Liverpool boleh melonjak tiga mata di depan pendahulu semasa Arsenal dan empat berbanding City jika mereka mengalahkan Brighton di Anfield pada perlawanan terdahulu hari yang sama.

Di bawahan liga, Nottingham Forest beraksi kali pertama sejak dikenakan pemotongan empat mata kerana melanggar peraturan kewangan yang menyaksikan mereka terjerumus ke zon penyingkiran.

Arsenal muncul pasukan keempat menang setiap lapan perlawanan pertama EPL bagi tahun baharu apabila mereka membenam Brentford pada awal bulan ini – dengan tiga kelab terdahulu yang melakukannya semua berakhir sebagai juara liga.

Bagaimanapun rekod The Gunners menentang City dalam EPL teruk, dengan 12 kekalahan dalam 13 perlawanan terakhir, sekalipun kemenangan tunggal mereka hadir di Emirates pada Oktober lalu, susulan jaringan Gabriel Martinelli.

Bintang Arsenal, Gabriel Martinelli (kanan) menyumbat gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas Manchester City di Stadium Emirates, Oktober lalu. – Foto premierleague.com
Bintang Arsenal, Gabriel Martinelli (kanan) menyumbat gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas Manchester City di Stadium Emirates, Oktober lalu. – Foto premierleague.com

"Ia seperti satu kemenangan besar," kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta. "Ia sesuatu yang amat istimewa."

Anak buah Arteta kelihatan lebih berdaya saing berbanding tahun lalu, apabila mereka tersadung pada hujung musim, memberi peluang City untuk melepasi mereka bagi kejuaraan ketiga berturut-turut.

City tidak kalah dalam 38 perlawanan terakhir di gelanggang sendiri bagi semua pertandingan. Brentford adalah pasukan pelawat terakhir pulang dengan kemenangan dan ia berlaku pada November 2022.

Jika Arsenal berjaya melengkapkan kemenangan berganda pertama dalam liga ke atas City sejak musim 2007-08, ia pasti memberikan dorongan yang diperlukan mereka untuk memastikan kejuaraan.

Kekalahan Liverpool dalam Piala FA di tangan Manchester United menamatkan impian mereka untuk merangkul empat kejuaraan pada musim terakhir Jurgen Klopp di Anfield.

Mohamed Salah (tengah) menjaringkan dua gol ketika Liverpool seri 2-2 dengan Brighton di gelanggang lawan Oktober lalu. – Foto premierleague.com
Mohamed Salah (tengah) menjaringkan dua gol ketika Liverpool seri 2-2 dengan Brighton di gelanggang lawan Oktober lalu. – Foto premierleague.com

Pengurus dari Jerman itu, yang berjaya meletakkan pasukannya kekal bersaing di sebalik dibelenggu masalah kecederaan, menafikan sebarang impak negatif selepas kekalahan 4-3 di Old Trafford.

"Secara umum, pasukan ini berada dalam situasi mengagumkan ketika ini," katanya. "Hakikat kami melepasi segala halangan, situasi sukar memang sesuatu yang luar biasa."

Liverpool ketinggalan di belakang pendahulu liga Arsenal menerusi perbezaan jaringan dan berharap The Gunners dan City seri di Manchester.

Brighton seri dua perlawanan terakhir mereka di Anfield tetapi mereka tidak menang perlawanan liga berturut-turut sejak September dan Liverpool yakin mereka mempunyai kekuatan untuk menang ketika krisis kecederaan mereka makin mengendur.

Keputusan seri Nottingham Forest menentang Luton pada 16 Mac lalu menyaksikan mereka tiga mata di atas zon penyingkiran tetapi kini mereka ketinggalan di belakang pasukan Rob Edwards itu selepas hukuman kerana melanggar peraturan keuntungan dan kemampanan (PSR).

Pengurus Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo (dua dari kanan) bingung dengan nasib menimpa kelab itu. – Foto premierleague.com
Pengurus Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo (dua dari kanan) bingung dengan nasib menimpa kelab itu. – Foto premierleague.com

Forest membuat rayuan terhadap hukuman itu ketika mereka bersiap sedia untuk melayan kunjungan Crystal Palace malam esok.

Forest pasukan kedua liga utama dikenakan penalti kerana melanggar PSR musim ini selepas Everton dipotong 10 mata pada November lalu, sebelum ia dikurangkan kepada enam mata selepas rayuan.

Everton, empat mata di atas Forest, mungkin berdepan hukuman lanjutan selepas didakwa kali kedua melanggar peraturan itu.

Forest berdepan masalah besar dalam musim kedua mereka kembali ke liga utama, tetapi mereka boleh menarik nafas lega sedikit kerana kelab di sekitar mereka turut bergelut. – AFP

Manchester United (jersi merah) akan berkunjung ke Brentford awal pagi Ahad ini. – Foto premierleague.com
Manchester United (jersi merah) akan berkunjung ke Brentford awal pagi Ahad ini. – Foto premierleague.com

JADUAL PERLAWANAN EPL

Malam esok

Newcastle mln West Ham (8.30 mlm)

Bournemouth mln Everton (11 mlm)

Chelsea mln Burnley (11 mlm)

Nottingham Forest mln Crystal Palace (11 mlm)

Sheffield United mln Fulham (11 mlm)

Tottenham mln Luton (11 mlm)

Awal pagi Ahad

Aston Villa mln Wolves (1.30 pagi)

Brentford mln Manchester United (4 pagi)

Malam Ahad

Liverpool mln Brighton (9 mlm)

Manchester City mln Arsenal (11.30 mlm)

Berita Harian X