Khamis, 28 March 2024 | 4:07pm
Reaksi jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon ketika tewas kepada Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Reaksi jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon ketika tewas kepada Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

'Jika ada keajaiban, masih ada peluang'

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya masih belum mengangkat 'bendera putih' dalam perjuangan melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027.

Skuad kendalian Kim Pan Gon berada dalam laluan sukar untuk melepasi saingan Kumpulan D susulan kekalahan 0-2 kepada Oman dalam aksi keempat di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Pan Gon bagaimanapun menegaskan bahawa pasukannya akan berjuang hingga penghujung iaitu berdepan Kyrgyzstan di gelanggang lawan pada 6 Jun depan sebelum melayan kunjungan Taiwan di tempat sendiri, lima hari kemudian.

"Kami masih ada lagi dua perlawanan, jika ada keajaiban, kami masih ada peluang. Saya fikir lebih baik kita semua jangan berputus asa. Pemain, jurulatih, penyokong, jangan putus asa, kita berjuang hingga penamat.

"Perlawanan tempat lawan dengan Kyrgyzstan, mereka lebih baik dari kami dan anda tahu ranking mereka. Kita harap keajaiban, mungkin kalau seri juga kami boleh berjuang hingga ke penghujung," katanya.

Kekalahan kepada Oman di Stadium Nasional, kelmarin adalah kekalahan kedua-dua berturut Harimau Malaya kepada pasukan ranking 80 dunia itu selepas skuad negara turut kecundang dengan jaringan sama di Muscat, Jumaat lalu.

Harimau Malaya kini berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan dan Oman yang terikat sembilan mata dan menghuni dua kedudukan teratas.

Selain itu, Pan Gon berharap barisan pemain negara berada pada tahap terbaik bagi aksi pada Jun depan kerana saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025 akan bermula pada Mei depan.

"Liga akan bermula pada Mei, saya tidak pasti mungkin mereka (pemain) boleh bermain tiga atau empat perlawanan dalam liga. Ia (tahap kecergasan pemain) akan berbeza dan saya harap mereka dalam keadaan lebih baik," katanya.

Isu kecergasan pemain dalam perlawanan menjadi masalah buat Harimau Malaya ketika berdepan Oman kerana sebelum dua aksi itu, pemain negara tiada aksi kompetitif selepas pulang dari Piala Asia 2023, Januari lalu.

Berita Harian X