Rabu, 27 March 2024 | 12:09am

Oman buat Harimau Malaya terduduk lagi

KUALA LUMPUR: Badi kekalahan Malaysia kepada Oman berterusan apabila tewas 0-2 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kali terakhir Harimau Malaya menewaskan Oman kira-kira 24 tahun lalu ketika Pestabola Merdeka pada Ogos 2000 dan selepas itu skuad negara tewas dalam empat pertemuan terakhir termasuk dua aksi persahabatan dan dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Kekalahan kedua kepada Oman dalam Kumpulan D itu turut menyaksikan Harimau Malaya kini berdepan laluan sukar untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027.

Harimau Malaya yang melakukan tiga perubahan dalam kesebelasan utama berbanding ketika tewas 0-2 kepada Oman di Muscat, Jumaat lalu memperoleh peluang terbaik pada awal permainan menerusi Arif Aiman Hanapi, namun percubaannya diselamatkan penjaga gol Oman, Ibrahim Al Mukhaini.

Malang buat pemain pertahanan kanan negara, Azam Azmi Murad apabila mengalami kecederaan yang memaksa dia digantikan dengan Daniel Ting pada minit ke-26.

Pemain Malaysia, Arif Aiman Hanapi cuba melepasi pemain Oman pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional,Bukit Jalil. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Pemain Malaysia, Arif Aiman Hanapi cuba melepasi pemain Oman pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional,Bukit Jalil. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Oman turut mendapat beberapa peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan, namun dinafikan dengan kecemerlangan penjaga gol Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Ahmad Syihan bagaimanapun akhirnya tertewas dengan jaringan penalti Omer Al Malki pada masa kecederaan selepas dia menjatuhkan Muhsen Saleh Al Ghassani.

Skuad kendalian Kim Pan Gon bernasib baik tidak bolos kali kedua selepas rembatan Salaah Al Yahyaei sekadar menggegar tiang pada minit ke-52.

Pemain Malaysia, Dominic Tan diasak pemain Oman, Muhsen Saleh Al Ghassani ketika aksi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional,Bukit Jalil. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Pemain Malaysia, Dominic Tan diasak pemain Oman, Muhsen Saleh Al Ghassani ketika aksi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional,Bukit Jalil. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Harimau Malaya terus buntu untuk mendapatkan gol penyamaan apabila gerakan yang diatur terutama menerusi hantaran lintang mudah dipatahkan pertahanan Oman.

Sebaliknya, Oman mengesahkan tiga mata berharga apabila Mohammed Mubarak Al Ghafri meledak gol kedua pasukannya pada masa kecederaan.

Penjaga gol Malaysia, Ahmad Syihan berjaya menepis bola ketika aksi menentang Oman pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional,Bukit Jalil. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Penjaga gol Malaysia, Ahmad Syihan berjaya menepis bola ketika aksi menentang Oman pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional,Bukit Jalil. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Berita Harian X