Selasa, 26 March 2024 | 8:17pm
Sebahagian penyokong Harimau Malaya berbuka puasa sebelum perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman di luar Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Penyokong berbuka puasa di stadium

KUALA LUMPUR: Meskipun aksi Malaysia dan Oman hanya akan berlangsung jam 10 malam ini, segelintir penyokong Harimau Malaya sudah tiba di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Rata-rata penyokong yang tiba awal di stadium bagi mengelak tersangkut dalam kesesakan lalu lintas dengan sebahagian besar pemain ke-12 Harimau Malaya akan mula hadir Bukit Jalil selepas waktu berbuka.

Tidak dinafikan suasana petang tadi di Stadium Nasional agak suram dan berbeza dengan aksi Harimau Malaya sebelum ini disebabkan perlawanan berlangsung pada Ramadan dan hari bekerja.

Penyokong yang hadir awal berbuka puasa di sekitar stadium dengan ada yang membeli makanan di 'food truck' dan ada yang membawa makanan dari luar.

Seorang penyokong, Wan Hazwan Wan Rahim menjelaskan bahawa dia tiba di Stadium Nasional pada jam 6 petang dan bercadang untuk berbuka puasa di stadium.

"Saya datang awal bersama lima lagi rakan untuk elak daripada kesesakan lalu lintas. Lagi pun semangat nak menonton pasukan Harimau Malaya dan tidak salah kalau datang awal.

"Dekat sini juga ada semua kemudahan termasuk food truck untuk membeli makanan berbuka puasa dan surau untuk solat. Jadi tiada masalah untuk penyokong," katanya.

Setakat jam 7 malam tadi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan 24,102 tiket perlawanan keempat Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu sudah terjual.

Sebahagian penyokong Harimau Malaya berbuka puasa sebelum perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman di luar Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Sebahagian penyokong Harimau Malaya berbuka puasa sebelum perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman di luar Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Sokongan padu daripada penyokong sangat diharapkan barisan pemain Harimau Malaya dalam usaha mereka untuk meraih tiga mata penting dan membuka peluang lebih cerah untuk ke peringkat seterusnya.

Harimau Malaysia ketika ini berada di tangga ketiga kumpulan, berkongsi enam mata bersama Oman dan Kyrgyzstan yang menghuni kedudukan dua teratas.

Berita Harian X