Selasa, 26 March 2024 | 1:14pm
Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone (kiri) dan bos Manchester City, Pep Guardiola (kanan) mendahului senarai gaji tertinggi liga Eropah. - Foto AGENSI
Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone (kiri) dan bos Manchester City, Pep Guardiola (kanan) mendahului senarai gaji tertinggi liga Eropah. - Foto AGENSI

Gaji Guardiola, Klopp tidak setinggi Simeone

LONDON: Bos Manchester City, Pep Guardiola dan Jurgen Klopp dari Liverpool adalah pengendali dengan gaji tertinggi di Liga Perdana Inggeris, tetapi tidak setinggi pesaing di kelab Eropah.

Guardiola layak menjadi pengendali paling mahal di Liga Perdana Inggeris berdasarkan rekod kejayaan terkininya.

Dia membimbing Man City memenangi lima gelaran liga, dua Piala Fa dan empat Piala Liga sepanjang berada di Stadium Etihad, serta memenangi kejuaraan sulung Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Kemenangan di Istanbul melengkapkan kejuaraan treble City musim lalu, dan mereka berpeluang mempertahankannya musim ini.

Guardiola, dianggap sebagai salah seorang pengendali terbaik dalam sejarah, dilaporkan menerima gaji 1.66 juta pound (RM9.90 juta) sebulan.

Seteru utamanya, Klopp menerima 1.25 juta pound (RM7.46 juta) sebulan, tetapi kedua-dua nama besar Liga Inggeris itu masih berada di tangga kedua dan ketiga senarai gaji pengendali di liga Eropah.

Bos Atletico Madrid, Diego Simeone mendahului senarai gaji pengendali Eropah dengan bayaran 2.42 juta pound (RM14.44 juta).

Pengendali kelab Serie A, Massimiliano Allegri berada di tangga keempat dengan gaji 920,000 pound (RM5.49 juta) dan pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino melengkapkan senarai lima teratas dengan gaji 870,000 pound (RM5.19 juta). - AGENSI

Berita Harian X