Isnin, 25 March 2024 | 1:24pm
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon pada sidang media praperlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 menentang Oman di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini. - Foto NSTP/ AZIAH AZMEE
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon pada sidang media praperlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 menentang Oman di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini. - Foto NSTP/ AZIAH AZMEE

Pan Gon tuntut janji kontraktor

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menuntut janji daripada kontraktor yang berjanji akan menyediakan padang terbaik di Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi aksi menentang Oman, malam esok.

Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan, kontraktor sebelum ini berjanji akan menyediakan padang terbaik bagi perlawanan keempat Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Beliau memaklumkan belum melihat keadaan padang di Stadium Nasional, namun berharap permukaan padang itu berada dalam keadaan terbaik bagi mengharungi aksi penting menentang Oman.

"Mengenai padang (Stadium Nasional), saya belum lihat lagi. 'Technicians' (kontraktor) janji akan bagi padang yang terbaik pada hari perlawanan.

"Jadi kami perlukan padang yang baik, harap esok kami dapat lihat padang yang bagus," katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Sebelum ini, Pan Gon menyatakan rasa tidak puas hati dengan padang Stadium Nasional, namun beliau meletakkan kepercayaan terhadap kontraktor yang berjanji padang terbabit akan berada dalam keadaan baik sebelum aksi menentang Oman.

BH Sukan semalam melaporkan padang berkenaan dalam keadaan 'tidak cantik' apabila gambar yang dirakam menerusi dron oleh jurugambar NSTP mendapati permukaan padang di gelanggang keramat Harimau Malaya itu kelihatan masih ada kesan tampalan rumput.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan adakah padang Stadium Nasional bersedia sepenuhnya untuk aksi Malaysia menentang Oman esok.

Persoalan mengenai kesediaan Stadium Nasional untuk aksi menentang Oman sudah dibangkitkan sebelum ini susulan penganjuran konsert Ed Sheeran, bulan lalu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 8 Mac lalu bagaimanapun memutuskan pemilihan Stadium Nasional untuk aksi terbabit selepas melakukan lawatan ke gelanggang itu dan mendapat jaminan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Sementara itu, ketua jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy menjelaskan bahawa pihaknya sudah sedia maklum mengenai keadaan padang Stadium Nasional yang kurang baik.

"Malangnya, kami menerima makluman mengenai cuaca di Malaysia yang kerap hujan dan (padang) tidak akan bersedia dengan baik untuk perlawanan itu.

"Pemain mengetahuinya dan akan bersedia dari segi fizikal, taktikal dan psikologi. Kami tahu ia (padang) tidak bagus dan kami tidak akan berlatih di sana," kata Silhavy.

Berita Harian X