Jumaat, 22 March 2024 | 7:16pm
Pemain Australia-Greece, Haris Stamboulidis menjalani latihan bersama Sabah FC di Kota Kinabalu. – Foto Sabah FC
Pemain Australia-Greece, Haris Stamboulidis menjalani latihan bersama Sabah FC di Kota Kinabalu. – Foto Sabah FC

Stamboulidis cuba pancing Kim Swee

KOTA KINABALU: Pemain berasal dari Australia, Haris Stamboulidis berlatih bersama Sabah FC sejak awal minggu ini sekali gus mencetus spekulasi dia mungkin menyertai pasukan itu bagi saingan Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee berkata, pengurusan pasukan itu belum lagi memutuskan sama ada untuk menambah pemain import mereka.

Katanya, pasukan itu masih meneliti prestasi dan keupayaan sebenar Stamboulidis yang pernah mewakili Greece di peringkat belia sebelum membuat keputusan muktamad.

"Apa yang saya lihat prestasinya cukup positif. Kami akan umumkan dalam masa terdekat sama ada pemain baharu ini akan menandatangani (kontrak) atau tidak," katanya.

Beliau berkata, berbeza dengan Sabah, pasukan lain sudah melakukan persiapan awal dengan mengikat pemain import bagi mengukuhkan pasukan menghadapi Liga Super musim ini.

Kim Swee berkata pasukannya masih mengekalkan pemain import sedia ada untuk membantu pasukan mengekalkan kedudukan Sang Badak sebagai antara lima pasukan terbaik di negara ini.

"Kami fikir sasaran ini amat positif dan saya berharap Sabah FC mampu melakukannya dan cuba memperbaiki kelemahan yang dihadapi pasukan musim lalu," katanya.

Ketika ini skuad itu dibarisi tujuh pemain import - Ramon Machado, Telmo Castanheira, Gabriel Peres, Cifu, Park Taesu, Kwang Ming Ko dan Saddil Ramdani.

Berita Harian X