Jumaat, 22 March 2024 | 5:05pm
Penyokong setia Harimau Malaya sentiasa memberikan sokongan padu di Stadium Nasional Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS.
Penyokong setia Harimau Malaya sentiasa memberikan sokongan padu di Stadium Nasional Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS.

Ekor Harimau Malaya tunggu di Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Meskipun pahit, penyokong Harimau Malaya terpaksa menerima kekalahan 0-2 kepada Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, awal pagi tadi.

Berdasarkan komen di laman Facebook Berita Harian Online, pelbagai reaksi diberikan penyokong atau netizen terhadap aksi kurang menjadi yang ditampilkan skuad kendalian Kim Pan Gon dalam perlawanan itu.

Antara komen yang ditinggalkan pengguna media sosial itu termasuk menganggap pemain Harimau Malaya kurang menyengat disebabkan ketiadaan aksi kompetitif kerana saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini belum bermula.

Malah, tidak kurang juga ramai penyokong yang mahukan Harimau Malaya bangkit membalas dendam terhadap Oman apabila kedua-dua pasukan akan bertembung dalam aksi keempat Kumpulan D di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Pengguna akaun Facebook, Muhd Fuad meninggalkan komen: "Liga Malaysia berehat lama sangat. Pemain jadi lemau.. Comeback stronger di Bukit Jalil. Insya-Allah".

Qayz Ramora: "Kita layan dorang di SNBJ (Stadium Nasional) 26 Mac nanti…ambil game ni sebagai analisis kelemahan dan kekuatan yang ada memandangkn liga kita berehat lama..ayohhhh ada tiga game lagi maksimum 12 mata bakal melayakkan Harimau Malaya".

Sementara itu, Hazirul Annuar Mustafa menulis komen: "Tak apa...Jumpa Di Bukit Jalil.. Bangkit Harimau Malaya", manakala Mohd Nizam: "Bukit Jalil kita balas dendam..pasti menang".

Kekalahan itu menyaksikan Harimau Malaya yang sebelum ini memimpin saingan Kumpulan D jatuh ke tangga ketiga, berkongsi tiga mata bersama Oman dan Kyrgyzstan yang menghuni dua kedudukan teratas.

Berita Harian X