Rabu, 20 March 2024 | 8:55pm
Pemain import baharu TFC, Marin Pilj menjalani latihan bersama pasukan. Foto ihsan TFC
Pemain import baharu TFC, Marin Pilj menjalani latihan bersama pasukan. Foto ihsan TFC

'Nombor 60 terlalu istimewa buat saya' - Pilj

KUALA TERENGGANU: Pemain import Terengganu FC (TFC), Marin Pilj memilih jersi bernombor 60 yang mempunyai maksud tersirat berkaitan bapanya.

Perancang kelahiran Croatia itu yang baharu diikat skuad Penyu kelmarin bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 tampak menjadi bualan peminat setia skuad kendalian Tomislav Steinbruckner kerana nombor yang dipilih itu.

Pemain tengah berpengalaman bersama pasukan Osijek, Olimpija Ljubljana dan Varazdin dalam Liga Croatia menjelaskan mendiang bapanya adalah pendorong nombor satu dalam kariernya selain ibunya.

"Faktor utama saya memilih nombor 60 itu kerana ianya terlalu istimewa kerana mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan mendiang bapa.

"Sejak kecil lagi, bapalah antara insan yang bertanggungjawab memberikan galakan kepada saya bermain sukan yang paling diminati ini.

"Bapa bukan sahaja memberikan sokongan dan motivasi, tapi turut menghantar ke akademi bola sepak untuk melihat saya menjadi pemain terbaik dalam sukan ini.

"Jasa yang disumbangkan oleh bapa terlalu besar dan memberi kesan yang begitu mendalam terutama selepas saya menjadi pemain profesional sehingga kini.

"Jadi bagi mengenang jasa bapa yang meninggal pada usia 60 tahun, saya mahu mendedikasikan nombor itu pada jersi pasukan baharu ini khas buat bapa saya," ujar pemain berusia 27 tahun itu.

Pemain yang 'dirantai' selama semusim itu dijangka bakal mengemudi jentera tengah pasukan dengan pemain kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov selain Manuel Ott dan Akram Mahinan.

TFC sudah melengkapkan kuota import dengan kehadiran Pilj sebagai pemain ketujuh selepas Ivan Mamut, Ismaheel Akinade, Tukhtasinov, Manuel Ott, Matthew Steenvoorden dan Argzim Redzovic.

Berita Harian X