Selasa, 19 March 2024 | 4:17pm
Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Muhammad Radhi Mat Din (dua dari kanan) mahu Kedah Darul Aman (KDA) FC memastikan penaja pasukan menepati janji berkaitan pembayaran penajaan. Foto NSTP/Izzali Ismail
Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Muhammad Radhi Mat Din (dua dari kanan) mahu Kedah Darul Aman (KDA) FC memastikan penaja pasukan menepati janji berkaitan pembayaran penajaan. Foto NSTP/Izzali Ismail

'Penaja perlu tepati janji'

ALOR SETAR: Legenda bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din mengingatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC supaya berwaspada berkaitan isu kelewatan pembayaran wang penajaan oleh penaja pasukan bagi menghadapi musim baharu 2024/2025 yang akan bermula Mei ini.

Beliau meluahkan rasa kebimbangan itu kerana terdapat sesetengah penaja pasukan bola sepak dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) yang tidak menepati janji untuk melangsaikan pembayaran penajaan kepada pasukan yang ditaja.

Malah bagi beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Ahli Lembaga Pengarah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berkata, kelewatan dalam pembayaran dana yang dijanjikan penaja itu mampu memberi kesan terhadap hal pengurusan kewangan pasukan.

Tanpa menyebut dan merujuk kepada mana-mana penaja, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Belia dan Sukan negeri Kedah itu berharap pihak KDA FC dapat memastikan masalah berkaitan kelewatan pembayaran oleh penaja dapat ditangani dengan baik dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk musim baharu ini.

"Kita kena pastikan bahawa penaja membayar mengikut apa yang dijanjikan antara mereka dan kelab. Kadang-kadang apa yang berlaku adalah pihak penaja tidak dapat menunaikan apa yang dijanjikan.

"Ia akan memberi kesan kepada pengurusan kewangan kelab dan apabila masalah terjadi, secara tidak langsung akan kembali kepada pihak negeri yang akan terkesan dalam 'menanggung' masalah itu.

"Sedangkan semua pihak tahu dimana proses pemisahan antara kelab dan negeri sudah dilakukan melalui proses penswastaan," katanya ketika menghadiri majlis Iftar Ramadan Perdana dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada 30 anak yatim yang anjurkan oleh Pasaraya Mydin.

Dalam pada itu Radhi turut bersyukur mengenai proses pembentukan pasukan KDA FC berjalan dengan lancar dan sudah memulakan latihan sejak minggu lalu.

"Saya nampak pasukan sudah bersedia dan satu yang positif adalah apabila pasukan sudah memulakan latihan. Setakat ini kita berasa dengan janji yang dilakukan KDA FC dalam isu pembayaran gaji, saya yakin perkara ini akan selesai.

"Pada masa yang sama, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) juga masih mengharapkan pasukan Kedah kekal bersaing dalam Liga Super pada tahun ini kerana kita tahu pasukan Kedah adalah pasukan yang boleh memeriahkan lagi suasana bola sepak di negara ini," katanya.

Berita Harian X